Skip to main content

Malaysia

Pulau Pinang perkenal Pelan Tindakan Anti Keganasan Seksual Dalam Talian, Buli Siber

Lim berkata pelan tindakan itu dibangunkan susulan kajian berhubung isu gangguan dalam talian menemukan masih wujud jurang pengetahuan dalam kalangan mangsa tentang saluran pelaporan dan sokongan yang tersedia. - Gambar hiasan
Lim berkata pelan tindakan itu dibangunkan susulan kajian berhubung isu gangguan dalam talian menemukan masih wujud jurang pengetahuan dalam kalangan mangsa tentang saluran pelaporan dan sokongan yang tersedia. - Gambar hiasan

Advertisement

GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan melancarkan Pelan Tindakan Anti Keganasan Seksual Dalam Talian dan Buli Siber pada Disember ini bagi memperkukuh penyelarasan antara agensi serta memastikan mangsa mendapat akses kepada saluran bantuan dan pelaporan yang lebih berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim berkata pelan tindakan itu dibangunkan susulan kajian berhubung isu gangguan dalam talian menemukan masih wujud jurang pengetahuan dalam kalangan mangsa tentang saluran pelaporan dan sokongan yang tersedia.

"Kajian bertajuk Mapping Online Harassment: A Penang State-level Prevalence Study yang dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) bersama Penang Institute pada 2024 turut menunjukkan kepentingan meningkatkan kefahaman masyarakat berkaitan tindakan yang boleh diambil apabila diganggu secara dalam talian.

"Ramai mangsa tidak pasti ke mana hendak mendapatkan bantuan atau tindakan yang akan diambil selepas laporan dibuat," katanya pada sidang media kempen Penang Goes Orange (PGO) 2026 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PWDC Datuk Ong Bee Leng, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pulau Pinang Mohd Fitri Hashim dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri ACP Aminah Saad.

Lim berkata pasukan petugas turut ditubuhkan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), MCMC, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri serta beberapa agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyelaraskan usaha mengatasi isu berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata PGO 2026 yang bertemakan "L.E.A.P.: For a Safer Digital Space" bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai buli siber, gangguan seksual dalam talian, pengintipan siber dan penyebaran imej intim tanpa persetujuan, selain menggalakkan masyarakat membantu mangsa serta melaporkan kes berkaitan dunia siber.

Beliau berkata kempen melibatkan 37 NGO itu akan turut menganjurkan Pertandingan Video Televisyen Pusat Sumber Sekolah (TVPSS) bertemakan “Hentikan Buli Siber!” dan disertai 126 sekolah menengah di Pulau Pinang bagi menggalakkan golongan muda menghasilkan kandungan berkaitan keselamatan digital.

"Sejak diperkenalkan pada 2014, PGO berkembang sebagai platform bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak serta kepentingan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat," katanya.

Acara kemuncak PGO 2026 iaitu “Orange Walk” akan diadakan di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah di Permatang Pasir pada 5 Dis ini dengan sasaran lebih 3,000 penyertaan bagi memperluas kesedaran mengenai keganasan berdasarkan jantina dan kepentingan mewujudkan ruang digital yang selamat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement