NATIONAL
Pulau Pinang tidak jual tanah tampung keperluan kewangan kerajaan negeri - Chow

Chow berkata Pulau Pinang sepatutnya tidak harus malu untuk membangunkan tanah bagi kemajuan negeri dan keperluan rakyat. - Gambar Sinar Harian
GEORGE TOWN: Pulau Pinang tidak menjual tanah untuk menampung keperluan kewangan kerajaan negeri, sebaliknya pelupusan tanah kerajaan dilaksanakan melalui kaedah pemberimilikan, pajakan atau kaedah lain yang dibenarkan di bawah peruntukan Kanun Tanah Negara 1965.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata justeru itu, istilah 'penjualan tanah' tidak diguna pakai dalam konteks pentadbiran tanah kerajaan negeri dan menegaskan ia bukan semata-mata untuk memperoleh hasil, malah untuk memacu pembangunan, menjana peluang pekerjaan dan menambah nilai ekonomi kepada kawasan setempat.
"Bagi urusan pelupusan tanah ini, kerajaan negeri akan mengambil kira nilaian tanah semasa berdasarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan sekiranya tanah itu melibatkan projek strategik, termasuk pembinaan rumah, maka kerajaan negeri akan menggunakan pendekatan Permohonan Cadangan (RFP) dalam melupuskan tanah berkenaan.
"Ini bagi membolehkan kerajaan negeri memperoleh hasil premium yang lebih tinggi daripada nilaian tanah semasa," katanya ketika menggulung ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.Beliau berkata kaedah pelupusan tanah juga tidak mengurangkan pegangan negeri atau semata-mata untuk meningkatkan hasil kerajaan negeri kerana tanah itu digunakan untuk pembangunan dan meningkatkan sosioekonomi kawasan terlibat.
Sekiranya mengambil pendekatan untuk tidak memajukan tanah berkenaan, Chow menjelaskan ia akan menjadi beban kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkan kos bagi tujuan penyelenggaraan, selain rakyat tidak dapat menikmati kemudahan daripada pembangunan tapak itu, seperti pembinaan jalan, taman permainan dan lain-lain.
Beliau berkata Pulau Pinang sepatutnya tidak harus malu untuk membangunkan tanah bagi kemajuan negeri dan keperluan rakyat.
"Kita (Pulau Pinang) tak ada lombong emas, kita tiada (kayu) balak, apa kita malu kalau tanah itu adalah aset kita. Hasil lain tak ada, tidak perlu malu sekiranya kita menaruh harapan kepada pembukaan tanah untuk menjana hasil
"Ini untuk menggerakkan pembangunan sosioekonomi di negeri kita. Sepanjang 50 tahun, inilah formula generik Pulau Pinang." katanya.
Dalam pada itu, Chow berkata Jabatan Kewangan Negeri telah melaksanakan semakan semula ke atas hasil negeri dalam dua perspektif, iaitu meningkatkan kutipan hasil negeri sedia ada, termasuk tunggakan hasil melalui kaedah data cleansing dan semakan semula kadar yang tidak relevan.
Perspektif kedua pula melalui pengenalpastian sumber dan kaedah janaan hasil baharu negeri, termasuk semakan kadar cukai tanah dan pengkelasan desa ke bandar serta pemerkasaan Unit dan Badan Berkanun Negeri bagi membolehkan kutipan hasil baharu dilaksanakan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami