NATIONAL
Pusat data UMS cekap tenaga, efisien dan sokong agenda kelestarian

GRID Center dibangunkan sebagai sebahagian daripada strategi UMS dalam memperkukuh infrastruktur digital yang lebih cekap tenaga, efisien dari segi pengoperasian dan menyokong agenda kelestarian.
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi maju setapak dalam konteks pengurusan data melalui pewujudan Pusat Data Infrastruktur Hijau Tahan Lasak (GRID Centre) yang pertama di Kepulauan Borneo.
Dilengkapi dengan teknologi Huawei Fusion Module Smart Data Centre, menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Kasim Mansor, teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu memperkukuh infrastruktur digital UMS yang lebih cekap tenaga dan efisien dari segi operasi serta menyokong agenda kelestarian.
"Huawei Fusion Module Smart Data Center berasaskan kecerdasan buatan atau AI dan merupakan yang pertama seumpamanya di Borneo.
"GRID Center dibangunkan sebagai sebahagian daripada strategi UMS dalam memperkukuh infrastruktur digital yang lebih cekap tenaga, efisien dari segi pengoperasian dan menyokong agenda kelestarian," ujar beliau pada sidang media, di sini, baru-baru iniPada masa sama, pewujudan GRID Centre di UMS, menurut Kasim, bukan sahaja meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat di universiti itu, malah turut menyumbang kepada penjimatan kos operasi selain menyokong inisiatif pendigitalan kerajaan, sekaligus memperkukuh kedudukan UMS sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berdaya saing di Borneo.
"Sistem ini meningkatkan kecekapan penyampaian, menjimatkan kos operasi, dan secara keseluruhannya GRID Center ini menyokong inisiatif pendigitalan kerajaan, memperkukuhkan kedudukan UMS sebagai universiti berdaya saing di Borneo, satu-satunya universiti di Borneo yang full-fledged," jelas beliau.
Sebagai rekod, pewujudan GRID Centre UMS turut mengurangkan pelepasan karbon melalui penjimatan tenaga elektrik sebanyak 32 peratus, sekali gus mengurangkan beban pusat pengajian tinggi itu yang perlu menanggung kos sebanyak RM2.4 juta sebulan bagi penggunaan elektrik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami