PUTRAJAYA: Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) gempar apabila mesin pengimbas menerima bungkusan tertera ayat ancaman bom hari ini.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Azman Shari'at berkata polis menerima laporan pada 1.30 tengah hari oleh petugas yang mengendalikan mesin pengimbas mengenai penemuan bungkusan yang dialamatkan kepada seseorang di Limbang, Sarawak.

"Semakan petugas mendapati bungkusan itu tertulis 'Awas, jangan campak nanti meletup, ini bom', semasa diimbas, bungkusan itu dipercayai mengandungi bateri dan beberapa wayar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azman berkata susulan itu, Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan menyelamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu tembakan menggunakan "pigstick" yang dipasang pada robotik dan tiada sebarang letupan berlaku.

Setelah prosedur tembakan dilakukan, beliau berkata bungkusan terbabit sebenarnya mengandungi sebuah komputer riba dan kabel pengecas telefon.

"Terdahulu, tindakan pengesanan menggunakan anjing pengesan K9 juga didapati negatif bahan letupan ... bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya.


-- BERNAMA