JELEBU: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bercadang mewujudkan pusat transit khusus bagi menempatkan gelandangan yang mempunyai masalah mental di Kuala Lumpur.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji kawasan yang sesuai untuk menempatkan golongan berkenaan di pusat khas gelandangan di bawa seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Ketika ini kita tiada pusat khusus untuk menampung mereka yang menghidap masalah mental dalam kalangan gelandangan di Kuala Lumpur.

"Ini adalah perancangan jangka masa panjang untuk kenal pasti kawasan atau bangunan untuk dijadikan pusat rawatan masalah mental dan kajian sedang dibuat sekarang," katanya kepada pemberita selepas program penyerahan bantuan komputer riba kepada mahasiswa di Parlimen Jelebu di sini hari ini.

Menurut beliau rumah tumpangan gelandangan sedia ada ketika ini tidak sesuai menempatkan golongan yang mempunyai masalah mental kerana ia boleh mendatangkan masalah kepada penginap di rumah transit sedia ada.

Jalaluddin berkata kementerian berkenaan akan mengambil contoh pengurusan pusat transit gelandangan mental di Melaka dan akan diguna pakai di Kuala Lumpur.

"Di Melaka ada satu (pusat) dan kita akan ambil contoh pengurusan pusat berkenaan dan wujudkan pusat yang sama bagi menampung golongan ini," katanya.

-- BERNAMA