Sejak beberapa hari lalu, sekeping gambar seorang pelancong dari China yang bergambar bersama seekor penyu mengundang keresahan di kalangan pengguna media sosial.

Gambar tersebut giat dikongsi sejak semalam sehingga menjurus kepada pihak berkuasa Sabah menjalankan siasatan terhadap kes itu.

Memetik laporan The Star, penyiasat dari Sabah Wildlife Department dan Sabah Parks telah menyoal pihak pengurusan Singamata Adventures and Reef Resort mengenai insiden terbabit apabila salah sebuah daripada bot syarikat tersebut dilihat dalam gambar berkenaan.

BACA: Pencinta alam sekitar berang hidupan laut jadi bahan mainan

Penyu diklasifikasikan sebagai haiwan laut yang terancam. Perkara yang menjadi isu adalah bagaimana pelancong (di dalam gambar) boleh menangkap haiwan yang dilindungi itu.

Sementara itu, Singamata Adventures and Reef Resort memuat naik satu kenyataan dalam laman Facebook semalam.

Penyu
Kenyataan dan permohonan maaf Singamata Adventures and Reef Resort di laman Facebook syarikat itu.

Menurut posting itu, pihaknya turut berasa terkejut dengan kecewa apabila mengetahui perbuatan seumpama itu dilakukan di atas bot milik syarikat mereka.

“Kami tidak menyedari salah laku sebegitu berlaku di atas bot kapal kami. Sememangnya kami berasa kesal dan malu,” ujar kenyataan itu.

Siasatan dalaman yang dikendali oleh Singamata Adventures and Reef Resort mengesahkan insiden itu berlaku pada penghujung Mac lalu dan pekerja yang terlibat tidak lagi berkhidmat dengan syarikat itu.

“Kami tidak bersetuju dengan tingkah laku seperti ini dan akan memastikan bahawa semua kakitangan mematuhi garis panduan alam sekitar ditetapkan syarikat, peraturan kerajaan tempatan dan piawaian yang diterbitkan oleh pertubuhan-pertubuhan latihan penyelam,” tambahnya.

Syarikat yang beroperasi di Semporna itu turut merakamkan permohonan maaf terbuka ekoran insiden itu selain berasa kesal kerana persekitaran laut indah telah dirosakkan oleh tindakan kakitangan Singamata Adventures dan Reef Resort,” jelasnya.

Singamata Adventures dan Reef Resort akan memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan pihak berkuasa tempatan dan organisasi latihan penyelaman.

Segelintir pengguna Twitter turut menyuarakan keperihatinan mereka mengenai isu berkenaan.



Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun turut menyuarakan perkara ini dalam kenyataannya di laman Twitter. Beliau mengesahkan bahawa pihaknya telah meminta agar pegawai Hidupan Liar Semporna mengemukakan laporan kejadian tersebut.