DUNIA
China tekad perkukuh hubungan dengan negara membangun

China akan terus memperkukuh perkongsian dengan negara membangun dan menyumbang kepada kestabilan global.
BEIJING: China akan terus memperkukuh perkongsian dengan negara membangun dan menyumbang kepada kestabilan global melalui pertumbuhan inklusif serta inovasi, menurut Jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei.
"China mempunyai masa depan yang cerah dan penuh dengan peluang baharu. Ekonomi kami menunjukkan daya tahan dan dinamik yang kukuh.
"Momentum pertumbuhan yang stabil ini bakal menyuntik kestabilan dan kepastian yang amat diperlukan di peringkat global," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Resepsi Program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) bagi separuh pertama tahun 2025, di sini Sabtu malam.
Hong turut menegaskan komitmen berterusan China terhadap pembangunan global."China sedang mempergiatkan reformasi, meluaskan keterbukaan serta merangsang permintaan domestik bagi berkongsi manfaat sebagai pasaran pengguna dan import kedua terbesar dunia.
"Kami akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk dunia melalui pembangunan kami sendiri. China akan terus menjadi sauh kestabilan dan pemacu utama ekonomi global," katanya.
Menurut beliau, China kini giat melabur dalam teknologi baharu termasuk model kecerdasan buatan DeepSeek, robot humanoid, kereta api berkelajuan tinggi, kenderaan elektrik, tenaga bersih dan teknologi kuantum -- semuanya sedang berkembang pesat dan berpotensi besar untuk memberi manfaat kepada dunia.
"Kejayaan China terletak pada pemilihan landasan pembangunan yang selaras dengan keadaan nasional serta arus zaman.
"Sosialisme bercirikan China memiliki kekuatan tersendiri yang unik dan daya tahan yang tinggi. Kami akan terus berpegang teguh pada jalan ini," katanya.
Dalam suasana geopolitik global yang semakin tegang, Hong turut menekankan kepentingan perpaduan dan kerjasama multilateralisme, sambil memberi amaran terhadap peningkatan fahaman unilateral dan dasar perlindungan perdagangan.
Menyentuh mengenai program CIPCC, beliau berkata inisiatif itu menjadi jambatan penting yang menghubungkan China dengan negara-negara Selatan Global.
Beliau merakamkan penghargaan terhadap liputan menyeluruh dan bernas para wartawan sepanjang program selama empat bulan itu, yang merangkumi lawatan ke 19 wilayah dan daerah, lebih 500 aktiviti serta penerbitan lebih 5,000 laporan berita.
Seramai 119 wartawan dari 101 negara menyertai program CIPCC yang bermula pada Februari tahun ini.
"Laporan anda telah membuka jendela kepada negara-negara Selatan Global untuk memahami China dengan lebih baik," katanya sambil menambah bahawa kerjasama yang lebih kukuh diperlukan agar CIPCC terus menjadi platform dialog dan persefahaman bersama antara China dan negara-negara membangun.
Program CIPCC, yang dianjurkan oleh Persatuan Diplomasi Awam China, merupakan inisiatif pertukaran media yang bertujuan mengukuhkan persefahaman bersama antara China dan Selatan Global melalui pelaporan dan pendedahan yang mendalam kepada perjalanan pembangunan negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami