KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melancarkan inisiatif Pusat Satelit MYFutureJobs Kementerian Sumber Manusia dengan matlamat untuk terus memperkasa program pasaran buruh aktif, sekali gus memacu dan mengukuhkan ekonomi negara.

Majlis pelancaran tersebut turut disaksikan oleh barisan Menteri termasuk Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia; Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar; dan Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Majlis pelancaran tersebut telah diadakan serentak dengan penganjuran Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia yang telah berlangsung daripada 9 hingga 11 Disember 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Karnival pekerjaan anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, PERKESO itu diadakan bersempena dengan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Pusat Satelit MYFutureJobs merupakan satu inisiatif inovatif Kementerian Sumber Manusia menerusi PERKESO selaku penyedia perkhidmatan pekerjaan awam untuk membantu meningkatkan akses dan kebolehcapaian masyarakat khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar kepada peluang pekerjaan yang terdapat di seluruh negara.



Pusat Satelit MYFutureJobs ini akan berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pekerjaan seperti profiling, kaunseling kerjaya dan aktiviti kebolehpekerjaan pasaran buruh tempatan. Menerusi kemudahan ini juga, orang ramai khususnya pencari kerja warga tempatan boleh memanfaatkan kemudahan bagi mengakses peluang-peluang pekerjaan yang diiklankan dari seluruh negara menerusi Portal Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs.

Inisiatif strategik ini mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada semua Kementerian dan agensi Kerajaan yang turut sama menjayakan penubuhan Pusat Satelit MyFutureJobs di seluruh negara untuk memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan pekerjaan melibatkan aspek pengurusan kes dilaksanakan secara lebih meluas, selain meningkatkan keupayaan dan kebolehcapaian maklumat berkaitan perkhidmatan pekerjaan oleh pencari kerja.

Sehingga kini, sebanyak 43 Pusat Satelit MYFutureJobs telah beroperasi dengan jumlah keseluruhan sebanyak 61 cawangan pusat satelit akan beroperasi sepenuhnya di seluruh negara menjelang akhir tahun ini. Senarai penuh cawangan Pusat Satelit MYFutureJobs boleh dirujuk di pautan https://www.myfuturejobs.gov.my/ms/pusat-sehenti-myfuturejobs.

Hasil kerjasama PERKESO bersama pelbagai Kementerian dan agensi swasta antaranya Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pusat Satelit MYFutureJobs telah dibangunkan di Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara. Lima (5) daripada Pusat Komuniti Desa (PKD) yang merupakan hasil kerjasama bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu kini dikenali sebagai MYFutureJobs@PKD.



Fasiliti ini turut dirancang untuk diperluaskan kepada semua golongan pencari kerja termasuk graduan dan belia melalui cawangan di Pusat Pengajian Tinggi. Serentak dengan berlangsungnya Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia, program temu duga turut diadakan di Pusat Satelit MYFutureJobs di seluruh negara antaranya di Sarawak, Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, lebih 24,100 jawatan kosong ditawarkan kepada pencari kerja oleh sekurangkurangnya 75 buah majikan daripada pelbagai sektor dan industri yang telah mengambil bahagian dalam aktiviti temu duga secara bersemuka di Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia. Sepanjang tiga (3) hari berlangsungnya karnival pekerjaan ini, seramai 233 individu telah berjaya ditawarkan pekerjaan serta merta manakala 1,259 individu lagi telah melayakkan diri ke proses temu duga peringkat kedua, dengan jumlah pendaftaran keseluruhan yang diterima melebih 6,500 pencari kerja dari pelbagai golongan termasuk graduan dan OKU.

Antara majikan yang membuat pengambilan pekerja tertinggi adalah UMW Corporation, Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii), 7 Eleven Malaysia dan Bank Muamalat. Karnival pekerjaan yang menghubungkan para majikan dan pencari kerja dari serata negara ini turut menawarkan kekosongan jawatan dalam bidang professional, selain dilaksanakan dengan pematuhan SOP yang ketat seperti digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) khususnya bagi sesi temu duga.

Selain sesi temu duga, para pencari kerja juga berpeluang untuk memanfaatkan perkhidmatan-perkhidmatan pekerjaan lain yang turut disediakan di karnival ini seperti bantuan pendaftaran ke Portal Pekerjaan Nasional - MYFutureJobs, bengkel penyediaan resume, taklimat kerjaya dan bimbingan carian pekerjaan secara percuma oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO.



Pengunjung yang hadir ke karnival ini juga turut berpeluang untuk mengunjungi Pameran Ekosistem Pekerjaan KSM daripada agensi-agensi di bawah Kementerian tersebut. Selain PERKESO, terdapat juga booth pameran daripada Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Talent Corp, NIOSH dan HRDCorp.

Menerusi MYFutureJobs, PERKESO akan meneruskan usaha bagi membantu lebih ramai Keluarga Malaysia mendapatkan pekerjaan menerusi program pasaran buruh aktif seperti karnival kerjaya ini sekaligus menangani isu pengangguran. Program temu duga dan karnival kerjaya seumpama ini juga akan diadakan dari semasa ke semasa dan pencari kerja warganegara Malaysia temasuk graduan dan individu yang sedang menganggur adalah dipelawa untuk menghadiri aktiviti yang dianjurkan oleh PERKESO ini, beramai-ramai.

Bagi meneruskan kejayaan penganjuran Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia ini, KSM menerusi PERKESO akan menganjurkan pula Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya (OKU) pada Selasa, 14 Disember ini di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Karnival pekerjaan khas selama sehari khas buat golongan OKU ini akan melibatkan penyertaan daripada 16 buah majikan pelbagai sektor seperti Padini, AEON, McDonald’s Malaysia, Nando’s, Kyochon, HDTEC Energy, Teleperfomance Malaysia dan Apar Technologies yang menawarkan lebih 1967 jawatan kosong.

PERKESO ingin menyeru dan mempelawa golongan OKU yang aktif mencari pekerjaan untuk menyertai karnival ini dengan membuat pra-pendaftaran menerusi pautan https://bit.ly/KarnivalOKU2, selain berpeluang menerima Insentif Mobiliti di bawah program PenjanaKerjaya sehingga RM1,000 jika ditawarkan pekerjaan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang PERKESO https://www.perkeso.gov.my atau portal MYFuturejobs di https://www.myfuturejobs.gov.my.

Bagi majikan yang berminat untuk menyertai program temu duga atau karnival kerjaya anjuran PERKESO, sila hubungi Careline PERKESO 1-300-22-8000 atau emel ke [email protected].