ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah telah membuat keputusan bagi menilai dan meneliti semula tindakan meluluskan pembaharuan lesen kepada pusat urut dan refleksologi di negeri itu sekiranya premis-premis terbabit terlibat dengan aktiviti selain daripada tujuan asal ia beroperasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan keputusan itu dilaksanakan susulan terdapat laporan wujud kegiatan yang 'lain' di premis berkenaan sehingga membawa kepada aktiviti yang bertentangan dengan moral.

Tambah beliau, walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan dibubarkan dalam tempoh terdekat, pemantauan secara berterusan akan dijalankan terutama melibatkan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Jika pemantauan oleh PBT dan (dan pihak berkuasa lain seperti PDRM dan Imigresen) selepas ini, (dan) masih berlaku kegiatan selain daripada yang dilesenkan, maka lesen tidak akan diperbaharui, dan kita akan tutup pusat-pusat itu.

"Kita (akan) tengok peruntukan di bawah undang-undang untuk memberhentikan pengeluaran lesen pusat pusat seperti itu," tegasnya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan EXCO Kerajaan Negeri Kedah yang terakhir pagi penggal ini di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad memaklumkan, kegiatan tidak sihat yang berlaku di premis rumah urut dan pusat refleksologi menjadi penyebab utama keputusan ini dibuat.

Menurut beliau, kegiatan tidak bermoral itu juga, sekiranya tidak dihalang, akan menjadi semakin parah kerana ianya turut melibat golongan belia dan pelajar sekolah.

Pada 17 Jun lalu, beliau menyertai satu operasi bersepadu oleh pihak PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Pejabat Daerah Kota Setar di beberapa kawasan sekitar Alor Setar.