Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) akan kembali operasi bagi pemeriksaan kenderaan perdagangan kategori tertentu selain perkhidmatan Trak Bergerak bermula 29 April ini.

PUSPAKOM, dalam kenyataan pada Sabtu, memaklumkan pengoperasian itu dilakukan di semua cawangannya di seluruh negara kecuali di Batu Caves, Pandan Mewah, Glenmarie dan Taman Daya.

"Kategori kenderaan perdagangan yang boleh diterima oleh PUSPAKOM untuk sementara ini termasuk kenderaan barangan, perkhidmatan awam dan pelancongan.

"Kami juga akan mengumumkan kelak jika perkhidmatan pemeriksaan lain akan beroperasi semula.

"Cawangan yang dibuka juga akan menyediakan khidmat pembaharuan insurans, sementara cawangan di Lembah Klang dan zon selatan yang sebelum ini menawarkan perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) juga akan menyediakan perkhidmatan tersebut," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan bagi memudahkan urusan, semua pelanggan perlu membuat tempahan menerusi MyPUSPAKOM sebelum hadir membuat pemeriksaan kenderaan.

Kenyataan itu menyebut tiada pelanggan dibenarkan 'walk-in' untuk pemeriksaan kecuali bagi kenderaan yang telah tamat perakuan pemeriksaan antara 18 Mac hingga 28 April ini.

Bagaimanapun, kumpulan ini perlu merujuk jadual disediakan menerusi https://www.puspakom.com.my/news-announcement/ untuk memastikan memastikan tarikhyang ditetapkan bagi pemeriksaan kenderaan mereka.

"Kenderaan yang tamat tempoh perakuan pemeriksaan selepas 28 April ini, diwajibkan membuat temu janji dalam talian di www.mypuspakom.com.my sebelum hadir pemeriksaan dan perlu membawa Insurance Cover Note sebagai dokumen tambahan selain kad pendaftaran kenderaan asal dan perakuan pemeriksaan terkini," menurut kenyataan itu.

Pelanggan juga perlu mendaftar di kaunter pendaftaran di cawangan yang dipilih sebelum 4.30 petang dan hanya seorang pemandu sahaja dibenarkan masuk ke premis pada satu masa, jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, PUSPAKOM mengingatkan pelanggan untuk menangguhkan atau menghantar wakil bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan jika tidak sihat, mengalami simptom batuk, demam, dan sesak nafas atau mempunyai sejarah melancong ke luar negara.

Orang ramai boleh mendapatkan sebarang maklumat terkini dengan mengikuti Facebookrasmi PUSPAKOM Sdn Bhd atau layari www.puspakom.com.my.

-- BERNAMA