KUALA LUMPUR: Beberapa pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer (Puspakom) di Selangor dan Pahang ditutup sementara mulai hari ini sehingga dimaklumkan kelak berikutan banjir yang melanda dua negeri itu.

Puspakom dalam kenyataan malam tadi memaklumkan cawangan Puspakom Selangor yang terlibat adalah di Shah Alam, Glenmarie dan Padang Jawa.

Puspakom Pahang pula melibatkan cawangan Pekan dan Raub.

"Bagi pelanggan yang telah membuat janji temu pemeriksaan di cawangan tersebut, bayaran janji temu akan dipulangkan secara automatik dalam tempoh 30 hari dan pelanggan diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPUSPAKOM jika ada menerimanya," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pelanggan yang telah membuat janji temu namun tidak dapat hadir pemeriksaan akibat terjejas dengan banjir boleh memohon pemulangan bayar balik dengan menghantar e-mel ke [email protected].

"Sebagai alternatif, pelanggan yang terjejas akibat penutupan ini boleh hadir ke cawangan berdekatan secara jumpa terus dengan membawa slip janji temu cawangan yang terlibat dengan penutupan sebagai bukti janji temu. Pengoperasian semula cawangan-cawangan ini akan dimaklumkan kelak," menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mengikuti Facebook PUSPAKOM Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi Puspakom dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA