“Papa pulanglah. Kakak masih perlukan papa. Kembalikan papaku. Papa pulang papa. Papa mesti ditemui. Papa mesti pulang,”
Itu antara kata-kata pertama yang diucapkan Angela Anggi Ranastianis buat bapanya sejurus mendengar khabar malang, pesawat diterbangkan bapanya hilang pada 28 Disember tahun lalu.
Tiada lain yang remaja berusia 22 tahun ini inginkan hanya berita jasad bapanya ditemui pasukan pencari dan penyelamat (SAR).
Namun setelah 10 hari musibah itu melanda pesawat Air Asia Indonesia QZ8501, khabar mengenai bapa Angela iaitu juruterbang pesawat QZ8501, Kapten Irianto masih lagi tiada.
Angela dilihat hanya dapat mengungkapkan rasa rindu mendalam buat bapa di akaun media sosialnya, Path.
Tulisan-tulisan yang dikongsikan puteri sulung Irianto ini, seringkali menyentuh hati sesiapa yang membacanya.
Pada Selasa, Angela memuat naik lirik lagu ‘Ayah’ nyanyian kumpulan Indonesia, Seventeen bagi menggambarkan perasaannya.
Bukan itu sahaja, Angela turut membela nasib bapanya ketika banyak spekulasi yang timbul seolah-olah menyalahkan kapten pesawat QZ8501 itu.
Paling menyentuh hati adalah permintaan Angela agar bapanya segera pulang ke rumah untuk bertemu adik dan ibunya, walau untuk sebentar sahaja.
Kata Angela, semoga dia diberi kesempatan untuk cium dan memeluk bapanya.
Angela merupakan anak pertama dari dua beradik. Adiknya, Arya Galih Gegana yang berusia lapan tahun masih belum tahu kemalangan yang melanda bapanya itu.
Irianto yang merupakan juruterbang berpengalaman menetap di Buduran, Sidoarho bersama isteri Widya Sukarti Putri dan dua anaknya itu.
Mengikut rekod, Irianto mempunyai pengalaman terbang berjumlah 20, 537 jam dan bersama AirAsia, Irianto telah terbang selama 6,053 jam.
Setakat ini, hanya dua kru AirAsia yang telah ditemui iaitu pramugari Khairunisa Haidar dan juga pramugara Wismoyo Ari Prambudi.
Pihak SAR telah mengesahkan sebanyak 37 mayat telah dijumpai dan daripada jumlah itu baru sembilan mayat telah diserahkan kepada waris masing-masing.
Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama (28 Dis).
Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 orang warga Indonesia, Korea Selatan (tiga) dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia dan United Kingdom.
Krunya pula terdiri daripada enam Indonesia dan seorang Perancis.