Pergerakan Puteri UMNO akan lebih agresif dalam menawan hati pengundi muda untuk mencapai sasaran 500,000 anggota, sekali gus memenangi pilihan raya umum akan datang.

Naib Ketua pergerakan itu, Zahida Zarik Khan berkata bagi mencapai hasrat itu, sayap termuda UMNO itu perlu bekerja keras untuk menarik golongan muda mendaftar sebagai pengundi.

Beliau bagaimanapun mengingatkan jentera Puteri UMNO agar tidak terlalu leka dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak Mei lalu serta kemenangan pada dua pilihan raya kecil di parlimen Kuala Kangsar serta Sungai Besar.

"Kemenangan itu tidak boleh kita jadikan tiket untuk sambil lewa. Kita perlu terus bekerja keras," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini hari ini.

Zahida berkata biarpun usia Puteri UMNO baru menginjak 15 tahun sejak ditubuhkan pada 3 Ogos 2001 dan kini mempunyai 400,000 anggota, Puteri dilihat matang melebihi tempoh usianya.

"Usia Puteri UMNO kini 15 tahun dan diibaratkan seperti tempoh seorang 'remaja' yang sedang membesar, namun Puteri sudah matang dalam perjalanannya. Peranannya amat penting ia menjadi nadi suara, mata dan telinga untuk orang muda," katanya.

Sementara itu ketika ditanya berhubung cara Puteri UMNO menangani tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap UMNO dalam media sosial, Zahida berkata pergerakan itu mempunyai pasukan jentera siber yang akan menjawab kembali isu-isu yang dibangkitkan dalam laman sosial berkenaan.