Anggota Puteri UMNO diminta berfikiran matang dan rasional dalam mempertimbangkan sebarang isu yang dimuat naik di media sosial terutama membabitkan pemimpin tertinggi parti.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata sikap mudah percaya terhadap laporan di media sosial tanpa menyelidiki kebenarannya boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan anggota parti.

"Anggota Puteri perlu mengelakkan diri daripada dijajah minda menerusi asakan media sosial yang memanipulasikan isu membabitkan pemimpin tertentu.

Jangan mudah termakan dakyah malah sepatutnya kita menangkis asakan pihak tertentu yang dengkikan kejayaan pemimpin negara ini dan bersifat matang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jerantut di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Jerantut Ahmad Nazlan Idris dan Ketua Puteri UMNO Jerantut Norsarfinaz Mohd Azman.

Katanya, sejarah perjuangan negarawan terdahulu wajar dijadikan wadah anggota Puteri untuk merencanakan perjuangan masing-masing.

"Sebab itulah, kita sebagai anggota Puteri perlu menghargai perjuangan pemimpin dan veteran UMNO yang banyak pengalaman dan menjadikannya sebagai panduan untuk mencorakkan kepimpinan pada masa akan datang," katanya.