Tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa puting beliung di Oklahoma Amerika Syarikat setakat ini.

Menurut Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan, Wisma Putra akan terus memantau perkembangan bencana di negeri berkenaan bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang terjejas.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman turut menyarankan semua rakyat Malaysia yang mahu mendapat maklumat terkini mengenai bencana puting beliung di Oklahoma supaya menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di New York.

Dalam pada itu, Anifah mewakili rakyat Malaysia mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang kehilangan ahli keluarga dalam bencana itu.

Puting beliung yang melanda Oklahoma pada Isnin menyebabkan majoriti kawasan di bandar dan pinggir bandar terjejas teruk dimana ia turut memusnahkan harta benda dan menyebabkan kemalangan jiwa.