KUALA NERUS: Qari dari Perak Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali dan qariah Nur Syakura Mohamad Musa yang mewakili Sarawak diumumkan sebagai johan Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan Tahun 1447/2026M.
Masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji berserta piala, cenderamata dan sijil penyertaan.
Advertisement
Selangor dinobatkan sebagai juara keseluruhan, sementara bagi kategori hafazan juzuk 1-30 al-Quran bahagian lelaki dimenangi oleh Muhammad Izzul Afnan Sazali dari Wilayah Persekutuan, dan Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam dari Melaka menjadi johan bahagian perempuan.
Bagi kategori hafazan juzuk 1-20 bahagian lelaki, johan disandang Wan Syimir Muhaimin Wan Ahmad Sadaba dari Pahang, manakala Nur Izzati Norazmi dari Selangor merangkul gelaran johan bahagian perempuan.
Selain itu, johan kategori hafazan juzuk 1-10 bahagian lelaki menjadi milik Muhammad Amnan Muhammad Sani dari Sabah, sementara Siti Sofiyyah Abu Bakar dari Kelantan johan bahagian perempuan.
Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail berkenan menyempurnakan majlis penutup dan pengurniaan hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah di Stadium Tertutup Gong Badak, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, malam ini.
Turut berangkat, Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Dato Seri Muhammad Mua’az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
-- BERNAMA