Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini menggesa rakyat membuat laporan polis berhubung dakwaan Sirul Azhar Umar yang mendakwa dia telah membunuh Altantuya Shaariibuu 'atas arahan', lapor The Malay Mail Online.

Menurutnya tindakan itu dapat membantu membuka siasatan baharu ke atas kontroversi pembunuhan wanita warga Mongolia tersebut.

Selain itu, katanya ia juga boleh memberi desakan kepada pihak polis menjalankan siasatan baharu, terutama sekali selepas dakwaan bekas korporal itu dianggap 'mengarut' oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi.

"Jadi, saya rasa tiada apa yang perlu dirisaukan oleh Najib. Orang awam perlu terus memastikan bahawa Sirul akhirnya mendedahkan siapa dalang pembunuhan tersebut dan ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara.

"Salah satu cara ialah dengan membuat laporan polis untuk memaksa mereka membuka semula siasatan berdasarkan apa yang didakwa oleh Sirul," kata Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR dan ahli Parlimen Pandan seperti yang dipetik dalam The Malay Mail Online.

Dalam pada itu, katanya beliau sendiri juga memaklumkan akan membuat satu laporan polis pada Isnin ini dan menyediakan templat bagi bagi memudahkan orang ramai membuat laporan yang sama di mana-mana balai polis.

Terdahulu, Najib telah menyifatkan dakwaan Sirul yang dirinya hanya bertindak mengikut arahan sebagai "mengarut".

Beliau berkata demikian sejurus selepas memberikan ucapan Tahun Baru Cina di mana wartawan mengajukan soalan tentang beberapa dakwaan Sirul termasuk “orang penting yang mempunyai motif” dalam kes itu masih bebas.

Najib pada mulanya menggelengkan kepala berkali-kali dan mula beredar tetapi apabila diasak wartawan, beliau kemudiannya menjawab “mengarut” sambil tersenyum.

Sirul yang kini berada di Australia dalam satu temubual bersama Malaysiakini mendakwa dia hanya mengikut arahan dan pihak yang mempunyai motif untuk membunuh Altantuya masih bebas.