MALAYSIA
Rafizi nasihat pentadbiran Anwar jangan pilih bulu, gesa SPRM siasat Farhash

Rafizi, berkata nama Farhash pertama kali terpalit dengan urusniaga yang mengundang kontroversi, malah namanya juga terkait dengan skandal lesen penerokaan mineral seluas 70,000 di Sabah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat tuduhan rasuah yang membabitkan ahli perniagaan, Datuk Farhash Wafa Salvador.
Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, nama bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri itu bukan pertama kali terpalit dengan urusniaga yang mengundang kontroversi, malah namanya juga terkait dengan skandal lesen penerokaan mineral seluas 70,000 hektar di Sabah.
Beliau berkata, adalah ‘merbahaya’ jika pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak konsisten dan memilih bulu dalam membanteras rasuah, sekiranya ada kes-kes besar yang melibatkan pimpinan Kerajaan Perpaduan atau tokoh-tokoh yang rapat dengan beliau.
“Sejak Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri, Farhash tiba-tiba melonjak menjadi seorang niagawan yang ligat dan mula mempunyai kepentingan dari satu syarikat ke satu syarikat. Ada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan beliau, kemudiannya mendapat kontrak perolehan yang besar dari kerajaan.“Jumlah sebenar kontrak-kontrak perolehan kerajaan yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Farhash tidak diketahui umum.
“Namun, pengaruh Farhash menjadi bualan rakyat di luar – baik rakyat biasa yang melihat kemewahan dan gaya hidupnya, sehinggalah golongan perniagaan yang berurusan dengan kerajaan dan dalam sektor korporat,” katanya melalui kenyataan media pada Jumaat.
Awal minggu ini sebuah portal media melaporkan beberapa dokumen berbentuk surat rasmi, rekod syarikat, minit mesyuarat lembaga pengarah, serta rakaman audio yang didakwa mengesahkan kaitan sebuah syarikat dengan Farhash, berhubung lesen penerokaan mineral di hutan Sabah.
Bagaimanapun bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Perak itu membuat laporan polis terhadap portal tersebut, mendakwa dokumen tersebut adalah palsu dan fitnah terhadap diri beliau.
Bagaimanapun Rafizi beranggapan bukti yang diterbitkan itu sudah memadai untuk SPRM memulakan siasatan.
“Maklumat-maklumat yang didedahkan setakat ini sudah cukup untuk membolehkan SPRM membuka kertas siasatan terhadap Farhash, seperti mana kertas siasatan dibuka terhadap tokoh-tokoh lain yang dituduh menjadi kaya secara tiba-tiba.
“Bila ada konsistensi sebegini, barulah lebih ramai rakyat yang lebih yakin dengan usaha kerajaan membanteras rasuah.
“Jika tidak, bukan sahaja usaha-usaha ini tidak membuahkan hasil yang dikehendaki dan diterjemahkan kepada kedudukan CPI negara yang lebih baik, saya khuatir beban Farhash ini akan mengheret PKR dan Pakatan Harapan dalam pilihanraya yang akan datang,” tegasnya lagi.
Rafizi berkata, beliau mengambil maklum tentang pengaruh Farhash dalam parti dan kerajaan, walaupun dinafikan oleh Perdana Menteri sendiri.
Namun bekas Menteri Ekonomi itu berpandangan isu seperti itu akan menimbulkan persepsi di kalangan rakyat, sekaligus merencatkan usaha Anwar untuk membanteras rasuah.
“Begitu juga dengan data-data kaji selidik terkini yang saya pernah kongsikan beberapa bulan lepas, yang menunjukkan kebimbangan rakyat mengenai rasuah semakin meningkat.
“Ini berlaku dalam keadaan pentadbiran Datuk Seri Anwar secara berterusan cuba melakukan pelbagai penambahbaikan proses, selain dari pendirian beliau yang berulang kali menolak rasuah.
“Jika Perdana Menteri rasa pelik kenapa sambutan rakyat tidak segah usaha-usaha yang sedang dilakukan, ia bermakna ada perkara lain yang mungkin mencacatkan usaha-usaha itu di mata rakyat,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami