KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada jam 4.45 petang pada Sabtu.

Beliau dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaannya mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Menurutnya, telefon bimbitnya dirampas pihak polis bagi membantu siasatan dan menurutnya, ia merupakan telefon bimbitnya yang kelima dirampas polis sejak tahun 2009.

BACA: Rafizi sahkan akan hadir ke IPD Sentul petang ini

“Polis merampas telefon untuk siasatan, itu proses biasa. Selalunya kalau ada kes bersabit dengan akta MCMC, selaunya polis akan ambil telefon sebagai bahan bukti,” katanya ketika ditemui selepas selesai memberi keterangan.

Terdahulu, Rafizi berharap proses dilaluinya adalah permulaan kepada siasatan mendalam terhadap isu dibangkitkan beliau.

Jelasnya, isu siapakah Zainab Mohd Salleh yang hangat dibincangkan akan terbongkar sendiri selepas siasatan daripada pihak berkuasa.

Isu LCS: Soal Zainab akan terjawab sendiri - Rafizi

“Saya berharap proses ini adalah permulaan kepada siasatan mendalam oleh semua pihak berkuasa bukan saja PDRM tapi SPRM kerana kita telah melalui proses ini semasa 1MDB, SRC dan lain-lain.

“Apabila ia mula-mula dikeluarkan, memanglah semua orang menafikan tapi apabila pihak berkuasa, pihak polis, SPRM mula menyiasat, dengan bidang kuasa yang ada, mereka kemudian boleh menjejaki akaun dan sebagainya.

“Akhirnya, soal siapa Zainab itu akan terjawab sendiri,” ujarnya.

Projek LCS | Polis sudah ambil keterangan Abdul Latiff

Dalam pada itu, Rafizi berkata pihaknya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis yang mengambil masa satu jam setengah merakam keterangan beliau.

Menurut peguamnya, Hadi Zulkarnain Zulkafli, Rafizi disiasat di bawah dua akta iaitu Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 iaitu menyebarkan kenyataan jelik.