KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dipenjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana meragut beg tangan seorang wanita dengan menaiki motosikal di hadapan sebuah hotel, November lepas.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Hafiz Said, 38, selepas dia mengaku bersalah melakukan samun ke atas seorang wanita berumur 41 tahun dengan mengambil beg tangan mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad Maybank, telefon bimbit jenis Samsung, kunci rumah, kunci motosikal dan wang tunai RM50.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah hotel di Jalan Sarikei Setapak, di sini, pada 3.40 pagi, 28 Nov lepas, mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebatan.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 10 Dis lepas.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang menaiki motosikal telah meragut beg tangan mangsa mengandungi barangan tersebut di hadapan hotel berkenaan sebelum tertuduh ditangkap di sebuah rumah di Taman Gembira, di sini pada 10 Dis lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam Tai Zee How. - BERNAMA