Skip to main content

Malaysia

Raja Perlis, 1,000 jemaah tunai solat Al‑Istisqa’ di Istana Arau

 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menunaikan Solat Al-Istisqa’  di Kangar. Sumber: MAIPs
Tuanku Syed Sirajuddin (tiga dari kanan) bersama Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kanan) dan Syed Sirajuddin Areeb berkenan berangkat menunaikan solat sunat Al‑Istisqa’ di Dataran Istiadat, Istana Arau, pada Khamis. - Gambar ihsan MAIPs

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menunaikan solat sunat Al‑Istisqa’ di Dataran Istiadat, Istana Arau, di sini, bermula jam 8 pagi tadi.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al‑Haj Jamalullail.

Advertisement

Hampir 1,000 jemaah, terdiri daripada kepimpinan negeri dan rakyat Perlis, turut menyertai solat sunat yang diadakan bagi memohon rahmat hujan berikutan cuaca panas dan kemarau yang melanda ketika ini.

Solat tersebut diimamkan dan diikuti dengan khutbah oleh Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.

Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), doa Al‑Istisqa’ turut akan dilaksanakan di semua masjid di negeri Perlis ketika Khutbah Jumaat, berdasarkan teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Pelaksanaan ini bermula 27 Mac 2026, dan diteruskan sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan oleh JAIPs.

MAIPs turut menyeru seluruh umat Islam di Perlis untuk memperbanyakkan doa, bermuhasabah diri serta memohon keampunan, agar negeri ini dikurniakan hujan dan dijauhkan daripada sebarang musibah.

Dalam masa sama, umat Islam digalakkan untuk terus berdoa bagi memohon hujan sepanjang tempoh kemarau panjang dan kekurangan air yang sedang dihadapi.

Must Watch Video