KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan sidang pertama majlis konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-39.

Tunku Azizah yang juga Ketua Perlembagaan UIAM ketika menyampaikan titah baginda di Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM (ICC), mengucapkan tahniah kepada semua graduan dan penerima anugerah pada konvokesyen itu.

Dalam titah baginda, Tunku Azizah turut melahirkan harapan agar ilmu yang diperoleh graduan di UIAM, dapat digunakan untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.

"Jangan sesekali lupa peranan kita sebagai khalifah untuk berkhidmat bukan sahaja kepada Allah Taala tetapi juga kepada ummah. Sentiasa berbuat baik, bantu insan yang memerlukan, hulurkan tangan untuk membebaskan mereka yang tertindas," titah Tunku Azizah.

Baginda pada masa yang sama mengingatkan semua untuk terus bersatu dengan Palestin.

"Walaupun kita mungkin putus harapan melihat keadaan ummah kita, terutama saudara kita di Palestin, namun kita tidak harus lupa bahawa kuasa berdoa, jika digabungkan dengan kekuatan ilmu dan kebenaran dapat mengubah dan membawa kita keluar daripada dunia yang paling gelap serta malapetaka.

"Ingatlah, bahawa jika sendirian kita mungkin tidak dapat melakukan banyak, tetapi jika bersama dan bersatu, kita sentiasa berupaya untuk mencetuskan keajaiban," titah Tunku Azizah.

Pada konvokesyen itu, baginda berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Kedoktoran Alam Bina kepada Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-HABITAT) Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu menerima anugerah itu sebagai mengiktiraf sumbangan beliau terhadap pembangunan dan kelestarian bandar.

Sementara itu, empat individu menerima gelaran Profesor Emeritus/Emerita iaitu Prof Dr Noraini Mohd Noor, Prof Datuk Dr Koutoub Mustafa Sano, Prof Datuk Dr Mansor Ibrahim, dan Prof Datuk Dr Mohd Azmi Omar.

Tunku Azizah turut berkenan menyampaikan Anugerah Merit Ibn Khaldun untuk Transformasi Sosial Global kepada Bank Pembangunan Islam (IsDB), yang telah lama berkerjasama dan menyumbang kepakaran dan pengetahuannya dengan UIAM.

-- BERNAMA