KUALA LUMPUR:Raja-Raja Melayu menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana memilih untuk melakukan rundingan dan konsultasi sebelum memberi perkenan serta menzahirkan keputusan penting.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan rasmi pada Ahad, memaklumkan semangat itu selaras dengan budaya syura yang sangat dianjurkan Islam ketika ummah menghadapi sesuatu persoalan yang memerlukan penyelesaian.

Dalam perjumpaan itu, raja-raja telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus terang dalam semangat saling menghormati, agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan, membantu baginda membuat ketetapan.

“Raja-raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka Baginda untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.

“Raja-raja turut menegaskan betapa pentingnya prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan negara dan mendaulatkan undang-undang dan mengutamakan kebajikan rakyat jelata,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan Mesyuarat Raja-Raja Melayu yang diadakan di Istana Negara pada Ahad.

Dilaporkan, perjumpaan itu dihadiri oleh semua Sultan dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta Pemangku Sultan Pahang. Bagaimanapun, Sultan Kelantan tidak hadir.

Pertemuan khas bersama Al-Sultan Abdullah itu adalah bagi membincangkan beberapa cadangan yang dipersembahkan oleh kerajaan terutamanya mengenai penularan COVID-19.

Hasil mesyuarat tersebut, Al-Sultan Abdullah menitahkan tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

BACA: Tiada keperluan isytihar darurat - Istana Negara