NATIONAL
Rakaman audio: Anwar beri keterangan di Bukit Aman

Anwar, diiringi peguamnya Sankara (kanan), menjelaskan kepada pihak media, beliau hadir bagi memberi keterangan susulan dipanggil sebagai saksi dalam kes rakaman audio tersebut. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung klip audio yang didakwa antara beliau dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tular baru-baru ini.
Kenderaan dinaiki Presiden PKR itu tiba kira-kira jam 9.58 pagi dan dilihat masuk ke pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Kehadiran ketua pembangkang itu ditemani peguamnya, Sankara N Nair.
Terdahulu, media melaporkan, rakaman audio perbualan dua individu yang mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar, tular sejak awal bulan ini.
Melalui audio berdurasi empat minit 17 saat itu, kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) menerusi panggilan telefon.
Menerusi rakaman sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dikatakan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat, selama 22 tahun.
Sementara itu, ketika ditemui media, Anwar menjelaskan, beliau hadir bagi memberi keterangan susulan dipanggil sebagai saksi dalam kes rakaman audio tersebut.
Katanya, beliau memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak polis yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 505 B Kanun Keseksaan.
"Saya dipanggil sebagai saksi, dalam kes audio, yang didakwa percakapan saya dan Zahid. Saya beri kerjasama dengan polis.
"Soalnya, saya tak tau kes rasuah mana, ugutan mana, jenayah mana, tetapi saya beri kerjasama. Kalau ada pendakwaan (selepas ini), saya beri keterangan lengkap.
"Saya tanya juga kepada polis, saya bangkitkan beberapa perkara, antaranya, kenapa perkara ini jadi isu?
"Nampak terdesak di situ. Apa kena mengena dengan kemelesetan ekonomi, apa penyalahgunaan kuasa yang ada?" soalnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami