KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara wajib berjaya, jika tidak, rakyat akan menghukum kerajaan, tegas Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Khairil Nizam Khirudin. 

Begitupun, beliau yakin pelan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada awal minggu ini masih di landasan tepat.

Beliau juga mengingatkan kunci kepada kejayaan pelan pemulihan ialah pembabitan semua pihak secara berpasukan.

"Ia bukan sekadar ahli politik, Cabinet members dan kakitangan kerajaan. tetapi juga oleh rakyat.

"... Kita tak boleh seminggu dah boleh selesai belaka," katanya menerusi penstriman di laman Facebook Dewan Pemuda Pas Malaysia pada Ahad.

Perdana Menteri pada Selasa mengumumkan, Pelan Pemulihan Negara sebagai satu strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 merangkumi empat fasa yang akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Berdasarkan pelan berkenaan Muhyiddin menyatakan keyakinan bahawa rakyat dapat kembali kepada kehidupan harian biasa menjelang akhir tahun, termasuk mengadakan semula sesi persidangan Parlimen pada September atau Oktober.