Jabatan Imigresen Malaysia akan menyiasat dakwaan sebuah badan bukan kerajaan di Republik Demokratik Congo yang petugasnya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bahawa jabatan itu mengamalkan pemprofilan berasaskan kaum.

"Saya akan minta maklumat daripada anggota saya berhubung perkara itu," kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris tempatan hari ini memetik The Fund for Congolese Women (FFC) menuduh pihak berkuasa Malaysia mengamalkan pemprofilan berasaskan kaum selepas Pengurus Programnya Simon Idi Bilondjwa ditahan selama 30 jam di KLIA.

Dalam petisyen bertajuk "Raise Your Voice to Stop Human Rights Violations at KLIA" (Kuatkan Suara Anda untuk Menghentikan Pencabulan Hak Asasi Manusia di KLIA) mendakwa Bilondjwa yang tiba di KLIA pada 23 Julai bagi menghadiri satu persidangan di sini ditahan sekalipun mematuhi peraturan imigresen sebelum dihantar balik.

FCC dipetik sebagai berkata: "Jelas daripada penerangan Simon bahawa keputusan pihak berkuasa Malaysia untuk menahan pelawat-pelawat ini didorong oleh perkauman dan bagi menghalang rakyat dari negara berkonflik atau kurang maju memasuki negara itu walaupun mereka masuk secara sah."

Bilondjwa juga berkongsi pemerhatiannya berhubung tahanan serta bagaimana mereka dilayan di dalam pusat tahanan yang sesak serta mendakwa air, biskut dan minuman ringan berharga hampir AS$2 (RM8.20) di dalam sel tahanan dengan pegawai imigresen hanya memberikan air sekali sehari kepada tahanan yang membayarnya.

FFC adalah pertubuhan yang menyediakan pembiayaan dan bantuan teknikal bagi inisiatif akar umbi yang diterajui wanita di negara Afrika berkenaan.

-- BERNAMA