NATIONAL
Rakyat jangan tergugat dengan celoteh negatif, sebaliknya lihat pada masa depan negara - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat perlu melihat kepada masa depan negara termasuk perkembangan Kecerdasan Buatan (AI) dan latihan anak-anak muda dalam bidang kejuruteraan serta industri-industri lain. - Foto BERNAMA
IPOH: Rakyat diminta untuk tidak tergugat dengan 'celoteh-celoteh' negatif termasuk di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, sebaliknya melihat kepada masa hadapan negara dan pencapaian yang dikecapi.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri menyeru rakyat supaya tidak terpengaruh dengan isu negatif, sebaliknya fokus kepada masa depan negara dan pencapaian yang telah dicapai.
- Beliau menekankan pentingnya pembangunan bidang digital, AI dan latihan anak muda dalam kejuruteraan demi kemajuan negara.
- Anwar yakin dengan kestabilan politik dan ekonomi, Malaysia mampu menarik pelaburan asing dan meningkatkan martabat negara di peringkat antarabangsa.
"Kita sekarang cakap pasal digital, AI, negara terancam dengan tarif, hal-hal latihan anak-anak kita dalam kejuruteraan, bakat baharu, tetapi (apa) yang dibicarakan pasal Kristian, Cina, DAP. Saya tidak katakan kita tidak boleh bicara, tapi lihatlah masa depan kita," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Perak, di Stadium Indera Mulia di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Anwar berkata beliau optimis untuk terus membawa masuk pelaburan asing ke negara ini, sekali gus mengangkat martabat Malaysia.
Beliau yang juga Menteri Kewangan yakin bahawa martabat Malaysia mampu diangkat apabila negara dalam keadaan stabil, politik kukuh, dasar dan kerangka ekonomi serta pembangunan negara jelas, serta pelaksanaan jentera pentadbiran lebih efisen.
"Walaupun saya sudah tua tapi pandangan saya optimis, harapan saya tinggi menggunung, kerana saya benar-benar cintakan negara ini dan melihat kepada keupayaan anak-anak dan rakyat, saya yakin kita boleh angkat martabat semua kaum," katanya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru agar semua pihak fokus kepada usaha untuk melahirkan generasi berdaya saing yang bersedia menghadapi cabaran masa depan, khususnya melibatkan teknologi tinggi seperti AI.
Beliau yang dalam lawatan kerja sehari di Perak hari ini, menegaskan Malaysia mampu melonjak ke satu tahap yang lebih baik, sekiranya disokong dengan barisan pimpinan negara yang bersih dan tidak mudah digugat oleh anasir yang melemahkan jentera pentadbiran awam.
Terdahulu, lebih 15,000 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 anjuran Kerajaan Negeri Perak dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku kementerian peneraju.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami