Rakyat tidak memahami sepenuhnya kaedah baharu pengiraan hutang negara yang mula dilaksanakan sejak 2014, menyebabkan mereka mudah dikelirukan pihak yang cuba menjatuhkan kredibiliti kerajaan.

Hakikatnya, tegas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Puad Zarkashi, pengiraan hutang negara sebanyak RM744 bilion itu turut merangkumi butiran termasuk hutang swasta, hutang syarikat awam serta hutang individu.

Malah jelasnya, hutang kerajaan hanya berjumlah lebih kurang dua peratus iaitu kira-kira RM16.8 bilion selain tidak berhutang kepada pihak seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Seperti yang disebutkan, hutang negara sebanyak RM744 bilion. Namun, apa yang berlaku adalah rakyat tidak dimaklumkan bahawa cara pengiraan hutang ini sudah berubah sejak tahun 2014.

"Hutang yang disenaraikan ini termasuk hutang swasta, hutang syarikat awam, hutang individu bahkan hutang orang luar yang membeli bon di negara kita turut dimasukkan sekali.

"Sebenarnya, hutang kerajaan hanya lebih kurang dua peratus sahaja iaitu kira-kira RM16.8 bilion dan ianya tidak banyak. Apa yang nyata, kerajaan tidak berhutang dengan Bank Negara atau pun kepada IMF," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meraikan lebih 80 anak-anak yatim pada majlis berbuka puasa, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A Latiff Awang dan Pengarah JASA Negeri Terengganu, Adli Kesah.

Puad turut menyuarakan rasa kesalnya berikutan tindakan sesetengah pihak yang cuba mengelirukan rakyat dengan mengeluarkan fakta kononnya negara akan bankrap manakala ekonomi negara tidak stabil.

"Rakyat di negara ini dikelirukan mengenai hutang negara oleh banyak pihak yang cuba memanipulasi fakta dan cuba menjatuhkan kredibiliti kerajaan.

"Kalau kita lihat, melalui kaedah kiraan baharu ini, hutang negara lain masih tinggi berbanding negara kita. Singapura misalnya, hutangnya apabila dikira menerusi kaedah baharu ini adalah sebanyak RM3 trilion," katanya.

Puad turut menyifatkan zaman 'hyper connectivity' (kesalinghubungan) ketika ini sebagai cabaran hebat kerana membuka ruang terhadap fitnah, pembohongan serta fakta yang diputarbelitkan.

"Kalau tak dijawab segera akan membentuk persepsi. Rakyat akan percaya kepada perkara yang tak betul," katanya.

Sehubungan itu, katanya, JASA akan terus mempertingkat peranannya dengan menangkis tohmahan serta menyebarkan maklumat yang tepat kepada rakyat.

"JASA sendiri akan meningkatkan keupayaannya di media sosial menerusi penyampaian maklumat kepada rakyat agar mereka tidak mudah percaya dengan fakta yang sengaja diputarbelitkan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.