MALAYSIA
Rakyat mahu proses digitalisasi segera, dan itu yang kerajaan akan lakukan - PM

Muhyiddin berkata, pelaksanaan proses pendigitalan itu juga harus disegerakan. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Impak wabak COVID-19 di negara ini memberi peluang kepada kerajaan untuk melaksanakan proses pendigitalan segera, bukan sahaja untuk sektor ekonomi, tetapi juga untuk kesemua aspek termasuk pentadbiran.
Langkah itu, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, amat kritikal dalam usaha memastikan negara ini akan lebih bersedia sekiranya dilanda krisis seumpamanya pada masa akan datang.
Beliau berkata, pelaksanaan proses pendigitalan itu juga harus disegerakan kerana pada fikiran beliau, rakyat Malaysia tidak boleh menunggu lagi untuk tempoh masa yang lama.
“Mereka mahukannya dengan segera. Kalau kita boleh selesai perkara itu dengan segera, maka matlamat yang saya sebutkan tadi, iaitu untuk melihat ke hadapan, soal pendigitalan masyarakat kita dalam semua bidang itu, dapat dilaksanakan dalam tempoh yang tidak terlalu lama.
“Ini akan melibatkan soal perancangan, melibatkan soal peruntukan, soal pelaksanaan, dan soal adanya kemudahan dalam masyarakat, yang membolehkan mereka menggunakan apa yang saya sebutkan sebagai data yang ada untuk manfaat mereka,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama Editor Astro AWANI Essan Yahya, dan penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Zaleha Khairene Ismail di Bangunan Putra Perdana, baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, beliau sedar, proses pendigitalan itu sepatutnya sudah bermula awal lagi, namun timbul kekangan tertentu di bawah pentadbiran kerajaan yang lepas.
“Sistem e-government, e-kerajaan, kerajaan elektronik, yang saya dengar dulu pun sudah dirancangkan. Saya diberitahu setakat ini mungkin 30 hingga 40 peratus. Saya sudah arahkan supaya kita segerakan proses, percepatkan … supaya dalam mana-mana keadaan masyarakat sekali pun, kalau kerajaan sudah mendahului.
“Jika ini berlaku, maka rakyat akan menyesuaikan keadaan. Maka proses pendigitalan, baik dalam soal pentadbiran kerajaan, dalam urusan perniagaan, dalam kehidupan harian, maka itu akan jadi satu trend masa hadapan kita,” jelasnya lagi.
Bagi memastikan proses itu berjaya, Muhyiddin berkata, kerajaan akan melakukan perancangan dengan teratur, terutamanya dalam soal mewujudkan infrastruktur yang amat diperlukan.
“Kita kena sediakan infrastruktur yang lengkap untuk tujuan itu, kita juga mungkin menyediakan galakan, selain daripada sistem pendidikan untuk masyarakat, dan anak-anak kita di sekolah, dan juga perniagaan.
“Kalau mereka yang terlibat dalam sektor perniagaan, sudah pun mula menceburi dalam bidang e-commerce dan lain-lain itu, maka ini mesti dipercepatkan lagi. Jadi ini satu perkembangan yang bagi saya menggalakkan, satu trend baharu,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami