KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia termasuk ibu bapa banyak menghabiskan wang kepada perkara yang tidak sepatutnya dan bukan kepada buku atau untuk pendidikan.

Tabiat itu bertentangan dengan tuntutan bahawa pendidikan merupakan kunci utama untuk menghapuskan ketidaksamaan terutamanya dalam taraf kehidupan dan pendidikan.

Pengarah Zubedy Sdn Bhd, Anas Zubedy berkata, dalam usaha untuk mengubah perkara tersebut, suntikan kesedaran perlu ditumpukan kepada ibu bapa terlebih dahulu.

“Saya fikir ramai ibu bapa tidak tahu perbezaan membeli buku dengan perkara lain, bukan hanya ibu bapa tapi rakyat Malaysia. Sebagai contoh, kalau kita memandu dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

“Cuba lihat iklan di sepanjang lebuh raya, ia banyak berkaitan produk kecantikan. Masyarakat kita membelanjakan wang pada perkara tidak sepatutnya. Saya fikir kita perlu selesaikan isu ini.

“Ini adalah satu isu yang meruncing yang perlu kita tangani. Kita perlu bercakap dengan ibu bapa,” katanya pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2021 (ISWC 2021) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa.

Dalam pada itu, menyentuh isu ketidaksamaan di Malaysia, Anas membangkitkan beberapa perkara termasuk dari aspek pendidikan, kekayaan, peluang pekerjaan dan kesan pandemik yang memburukkan lagi keadaan.

"Jurang kekayaan masih tinggi. Dua pertiga daripada rakyat Malaysia berpendapatan kurang daripada RM3,000 dan 90 peratus rakyat Malaysia mempunyai hampir sifar simpanan.

“Jelas kelihatan majoriti tidak mempunyai kemampuan untuk membina aset dan kekayaan yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang dan memecahkan kitaran ini,” ujarnya.

Justeru, beliau menggariskan empat inisiatif untuk menjadikan keadaan lebih baik buat Malaysia pada masa akan datang.

Keempat-empat inisiatif itu adalah memastikan tiada siapa dipinggirkan, membina perubahan yang berkekalan, menyediakan wang dan tenaga kerja terbaik untuk pendidikan bagi golongan miskin serta membangunkan bakat sedia ada dengan sebaiknya.