Berada di Bandaraya New York yang mencatatkan jumlah kematian paling tinggi di Amerika Syarikat, ketika ini, nyata membimbangkan rakyat Malaysia, Dr Zatil Aqmar Hashim.

Dr Zatil, 33, yang menetap di sana sejak tujuh tahun lalu bersama suaminya, Ikmal Ismail, 49, yang bertugas bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain dua anak mereka, mengambil langkah pencegahan ketat.

Katanya, mereka yang tinggal di Brooklyn, mengelak untuk keluar dari rumah dan hanya Ikmal sahaja akan pergi ke kedai bagi mendapatkan barangan keperluan.

"Jika terpaksa keluar, kami akan pastikan memakai penutup hidung dan mulut serta pakaian perlindungan peribadi (PPE)," katanya yang berkongsi pengalaman berada di bandar raya itu dengan Astro AWANI.

Dr Zatil bersama anak-anaknya menjalani kehidupan normal sebelum COVID-19 melanda.

Beliau berkata, walaupun keadaan agak serius, namun langkah kawalan pergerakan yang dilaksanakan di New York tidak begitu ketat.

"Kami sebenarnya tiada had orang yang boleh keluar dari rumah, juga tiada sekatan jalan raya. Orang ramai masih boleh keluar tapi perlu mematuhi arahan penjarakan sosial dan tidak boleh berhimpun. Kesalahan berhimpun boleh dikenakan kompaun sehingga AS$1,000.

"Sekolah, bangunan kerajaan dan pasar raya selain beberapa kemudahan seperti taman permainan serta perniagaan (tertutup) termasuk pub juga ditutup bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19," katanya.

Katanya sejak sekatan itu dikuatkuasakan baru-baru ini, dia tidak lagi dapat bertemu dengan rakan lain dari Malaysia walaupun tinggal berdekatan.

Jelas Dr Zatil, dia dan suami rindu untuk pulang ke Malaysia namun terpaksa membatalkan hasrat itu selepas memikirkan risiko perjalanan, justeru memutuskan lebih baik mereka terus tinggal di New York buat masa ini.

Katanya, Bandaraya New York yang tidak pernah sunyi sebaliknya sentiasa sibuk, kini seolah-olah bertukar menjadi ‘zombie land’ kerana orang sudah tidak berani berada di luar tanpa sebab.

Walaupun pasar raya ditutup, kedai menjual keperluan harian masih dibuka, namun orang ramai perlu mengambil langkah pencegahan COVID-19 termasuk tidak keluar beramai-ramai.

Berkongsi perasaan, bekas doktor di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kluang itu, berkata nalurinya meronta-ronta untuk membantu petugas barisan hadapan perubatan di Malaysia.

"Jika saya berada di Malaysia, berkemungkinan saya antara petugas barisan hadapan. Setiap hari saya berhubung dengan rakan-rakan bagi mengikuti perkembangan terkini pandemik COVID-19 di Malaysia.

"Pada mulanya, saya kecewa tidak dapat bersama mereka, tapi saya sedar ini adalah takdir. Jadi, saya berusaha dengan cara lain untuk membantu.

"Saya kumpulkan sumbangan membeli penutup hidung dan mulut untuk dihantar kepada barisan hadapan di Hospital Sungai Buluh. Buat masa ini, itu sahaja yang saya boleh bantu kerana berasa sebahagian daripada mereka," katanya.

Sehingga petang Selasa, secara keseluruhan, Bandaraya New York merekodkan lebih 10,000 kematian, dengan Selasa sahaja menyaksikan 3,778 kes kematian akibat COVID-19.