BANGKOK: Setiap tahun pada 31 Ogos, Ten Voon Teng, 70, tidak ketinggalan memakai baju Batik untuk menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Kedutaan Malaysia di Bangkok.

Tan yang telah menetap di Bangkok selama 45 tahun, tidak pernah gagal menghadiri sambutan Hari Kebangsaan sejak 10 tahun lepas.

"Menyambut Hari Kebangsaan di luar negara merupakan suatu pengalaman unik, menyentuh hati dan sangat bermakna. Inilah masanya untuk rakyat Malaysia berkumpul meraikan kekayaan warisan dan budaya Malaysia. Inilah cara untuk kekal berhubung dengan komuniti kita," katanya kepada Bernama.

Bagi Wong Shin Yi yang bekerja di sebuah syarikat teknologi di Bangkok, meraikan Hari Kebangsaan bersama rakyat Malaysia di luar negara merupakan detik istimewa kerana dapat berkongsi budaya dan warisan bersama rakan senegara.

"Pada sambutan Hari Kebangsaan, Kedutaan sentiasa menghidangkan makanan tradisional Malaysia yang lazat, termasuk Nasi Lemak dan Teh Tarik. Ini memberi peluang kepada kami untuk menikmati masakan kebangsaan kami dan berasa seperti berada di tanah air walaupun hakikatnya kami berada jauh," katanya.

Kira-kira 250 rakyat Malaysia di Bangkok berhimpun di Dewan Perniagaan India-Thai (ITCC) untuk meraikan Hari Kebangsaan sambil menikmati kepelbagaian juadah Malaysia.

Lengkap berpakaian tradisional, mereka mendendangkan lagi kebangsaan "Negaraku" dan lagu tema Hari Kebangsaan 2023, "Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan".

Suasana meriah diceriakan lagi dengan persembahan lagu patriotik Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan).

Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel dan isteri Datin Catherina Cherian Samuel turut menghadiri majlis itu bersama-sama pegawai dan kakitangan kedutaan.

Dalam ucapannya, Jojie menyatakan harapan agar sambutan Hari Kebangsaan kedutaan hari ini dapat menyemarakkan semangat memperingati kemerdekaan negara.

"Kehadiran anda di sini pagi ini telah memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini. Ia bukti perpaduan kita sebagai rakyat Malaysia di luar negara.

"Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-66, marilah kita menyokong tema (Hari Kebangsaan) tahun ini untuk menyemarakkan semula semangat patriotisme dalam diri kita dan menyemai benih perpaduan yang lebih kukuh untuk Malaysia yang lebih makmur," katanya.

Sempena Hari Kebangsaan, Jalur Gemilang akan dipamerkan pada skrin LED gergasi Siam Paragon dari 7 malam hingga 12 tengah malam (waktu tempatan).

Selain itu, mesej Hari Kebangsaan turut dipamerkan di Menara Baiyoke II, sebuah bangunan ikonik di Bangkok.

-- BERNAMA