JAKARTA: Rakyat Malaysia di Indonesia diseru agar mengekalkan semangat perpaduan dan patriotisme demi mempertahankan kedaulatan negara dari sebarang bentuk ancaman.

Perkara itu disampaikan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin semasa berucap di Majlis Sambutan Hari Malaysia ke-60 di kompleks kedutaan di Kuningan, Jakarta Selatan pada Sabtu.

Beliau mengimbau beberapa peristiwa seperti gugatan undang-undang oleh beberapa negara Eropah dan kedaulatan negara di Sabah yang telah dicabar musuh.

"Kita semua yang hadir di sini adalah patriot yang akan terus melawan dan bersatu mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta daripada ancaman sebegini.

"Mari kita menjaga dan mengukuhkan warisan kedaulatan tanah air demi keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran berlandaskan moto negara, Bersekutu Bertambah Mutu," kata Syed Md Hasrin.

Beliau turut menyeru supaya imej dan reputasi negara dipelihara dengan mempamerkan sikap profesional dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi Indonesia serta menghormati undang-undangnya.

"Sikap toleransi, muhibah dan persefahaman yang kukuh adalah kunci kekuatan Malaysia, sekali gus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kesejahteraan rantau Asia Tenggara," katanya.

Syed Md Hasrin berkata pihak kedutaan dan Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN komited untuk terus mempromosi dan menjaga kepentingan negara termasuk kebajikan rakyat Malaysia.

Selain mengenang jasa dan pengorbanan pahlawan, majlis yang dihadiri Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN Nur Izzah Wong Mee Choo, turut disemarakkan dengan kehadiran lebih 300 rakyat Malaysia.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa, disusuli upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang dan nyanyian lagu Negaraku, diiringi Pancaragam Polis Diraja Malaysia yang dibawa dari Kuala Lumpur.

Persembahan kebudayaan oleh kanak-kanak seperti gurindam, dikir barat dan tarian turut diadakan untuk menyemai identiti budaya Malaysia dalam kalangan generasi muda yang menetap di Indonesia.

-- BERNAMA