Rakyat Malaysia di Indonesia yang mahu pulang ke tanah air dan memerlukan bantuan konsul diminta segera menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Menurut kenyataan kedutaan, tiada arahan atau sekatan penerbangan yang dikenakan oleh Kerajaan Malaysia atau Pemerintah Indonesia setakat ini.

"Bagaimanapun berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi tempoh 18 hingga 31 Mac 2020 oleh Kerajaan Malaysia untuk menyekat penularan wabak COVID-19, terdapat beberapa syarikat penerbangan telah mengurangkan frekuensi penerbangan antara Malaysia dan Indonesia.

"Rakyat Malaysia yang ingin pulang dalam tempoh tersebut dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan yang terbabit bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menyusun semula jadual penerbangan masing-masing, sekiranya perlu," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsul boleh menghubungi talian +62 813 8081 3036, atau e-mel ke [email protected] atau [email protected]. - BERNAMA