MALAYSIA
Rakyat Malaysia di Thailand sambut Hari Kebangsaan dengan perpaduan, patrioisme dan warisan budaya

Bong Yik Jui menyeru rakyat Malaysia di Thailand agar terus menghayati semangat kemerdekaan dan memastikan rasa kecintaan terhadap tanah air kekal terpelihara. - Foto BERNAMA
BANGKOK: Dengan hidangan nasi lemak sebagai tarikan utama dan lagu-lagu patriotik berkumandang, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok meraikan Hari Kebangsaan ke-68 dengan meriah, menyatukan diaspora Malaysia dalam semangat perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air.
Berbusana batik, baju Melayu, baju kurung dan kebaya, kira-kira 300 rakyat Malaysia berhimpun di sebuah hotel di Bangkok bagi meraikan sambutan tahun ini.
Majlis dimulakan dengan nyanyian "Negaraku", disusuli persembahan bersemangat "Tanggal 31" dan "Saya Anak Malaysia", sebelum persembahan kebudayaan oleh kanak-kanak menyerikan lagi suasana.
Pelbagai juadah kegemaran rakyat Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, roti jala, mee kari dan pisang goreng turut dihidangkan, membawa nostalgia rasa kampung halaman.Peserta baharu, Ahmad Hashim Mahmood, yang mula bertugas sebagai Menteri bahagian politik Kedutaan Malaysia pada Julai lalu, berkata beliau terharu melihat ramai rakyat Malaysia mengenakan pakaian tradisional untuk meraikan sambutan itu.
"Ini kali pertama saya menyambut Hari Kemerdekaan di Bangkok... saya dapat merasai semangat perpaduan, jati diri serta usaha kuat untuk menzahirkan patriotisme terhadap negara. Ia amat menyentuh hati dan penuh makna," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.
Beliau juga berkata bahawa sambutan itu juga dapat memupuk semangat patriotisme dalam kalangan kanak-kanak Malaysia yang menetap di Thailand.
Sementara itu, Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Thailand, Bong Yik Jui menyeru rakyat Malaysia di negara itu agar terus menghayati semangat kemerdekaan dan memastikan rasa kecintaan terhadap tanah air kekal terpelihara.
"Ini adalah sambutan yang unik, harmoni dan penuh makna, yang mengingatkan kita bahawa kebebasan tidak datang dengan mudah.
"Ia adalah warisan yang harus dihargai dan dipertahankan bersama," katanya.
Sempena sambutan itu, Ucapan Hari Kebangsaan turut dipaparkan di skrin LED gergasi di pusat beli-belah terbesar Thailand, CentralWorld dari 7 pagi hingga tengah malam, sebanyak tiga kali setiap jam.
Jalur Gemilang juga berkibar megah di skrin LED mega di Siam Paragon serta di puncak menara ikonik Baiyoke Tower II di Bangkok.
Sementara itu, di BUDAPEST, Kedutaan Malaysia di Budapest menganjurkan perhimpunan Malaysia MADANI pada Sabtu bagi meraikan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia ke-62.
Dalam kenyataan, kedutaan itu berkata program bermula 6 petang waktu tempatan, bertepatan dengan detik kiraan detik Merdeka di Malaysia dan diadakan selaras dengan tema tahun ini, "Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni."
Program itu menghimpunkan rakyat Malaysia dari seluruh Hungary bagi meraikan dua sambutan bersejarah, sekali gus memperteguh perpaduan masyarakat serta rasa bangga terhadap tanah air.
Kuasa Usaha Malaysia di Hungary, Vanitha Gopalakrishnan dalam ucapannya menggesa rakyat Malaysia agar terus berbangga dengan tanah air sambil menghargai pencapaian komuniti Malaysia di Hungary, khususnya dalam bidang pendidikan, kerjaya profesional serta sumbangan yang mengharumkan nama negara.
Beliau menambah bahawa perhimpunan seperti ini bukan sahaja meraikan detik bersejarah negara, malah mempererat hubungan rakyat Malaysia di luar negara.
Pelbagai juadah tradisional Malaysia seperti sate, rendang, mee goreng, ayam percik, kerabu dan popia turut memeriahkan majlis, memberi rasa nostalgia kampung halaman.
Sambutan Ambang Merdeka turut diserikan dengan pelayaran di Sungai Danube, dengan para peserta mengibarkan Jalur Gemilang sambil meraikan semangat kemerdekaan, menggabungkan tradisi Malaysia dengan suasana unik Hungary.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami