KUALA LUMPUR: Kebanyakan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelajar dilaporkan selamat serta berada jauh dari kawasan konflik yang menyasarkan serangan udara di beberapa bandar di Yaman.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, sedang memantau dengan teliti perkembangan terkini di Yaman.

Ia susulan serangan udara diketuai oleh pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) bersama United Kingdom (UK), yang menyasarkan kawasan-kawasan kawalan Houthi di negara itu pada Khamis.

"Kedutaan Besar sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia yang menetap di Yaman. Kebanyakan mereka adalah pelajar dan berada dalam keadaan selamat serta jauh dari kawasan konflik.

"Rakyat Malaysia di Yaman digesa supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa oleh pihak berkuasa tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian itu menambah, memandangkan situasi keselamatan di Yaman masih tidak stabil, semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke Yaman.

Untuk sebarang bantuan, Kedutaan Besar Malaysia di Muscat boleh dihubungi di butiran berikut:

Alamat: Villa No. 2443, Way 3030 Shatti Al Qurum P.O. Box 51, Bareeq Alshati Muscat
Nombor Telefon: + 968) 2469 8329  + (968) 7159 2388 
Emel:   [email protected]

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan AS dan Britain menyerang puak Houthi selepas pemberontak disokong Iran itu terus menyerang laluan perkapalan di Laut Merah.

Difahamkan, serangan itu membabitkan jet pejuang dan peluru berpandu Tomahawk, namun pihak berkuasa AS sendiri tidak mengesahkannya.

Serangan udara itu menyasarkan beberapa bandar sekitar Yaman, di mana puak Houthi mengawal sebahagian besar wilayah, menurut sumber Houthi dan saksi.