MALAYSIA
Rakyat Malaysia dinasihat elak lawatan ke utara dan timur laut Thailand

Kedutaan Besar Malaysia di Thailand berkata langkah itu susulan notis perjalanan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT). - Facebook Embassy of Malaysia, Bangkok
BANGKOK: Rakyat Malaysia di Thailand digesa supaya sentiasa berwaspada dan mengelak perjalanan tidak penting ke kawasan berhampiran sempadan dengan Kemboja, susulan penutupan sementara pusat pemeriksaan dan kawasan pelancongan berhampiran di tujuh wilayah di utara dan timur laut Thailand berikutan ketegangan yang semakin memuncak di sempadan antara kedua-dua negara jiran itu.
Dalam nasihat terkini pada Jumaat, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand berkata langkah itu susulan notis perjalanan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) yang menyatakan bahawa pusat pemeriksaan sempadan dan tapak pelancongan berhampiran telah ditutup bagi memastikan keselamatan awam dan keselamatan negara.
Tujuh wilayah itu ialah Ubon Ratchathani, Surin, Si Sa Ket, Buri Ram, Sa Kaeo, Chanthaburi dan Trat.
"Sekatan ini meliputi urusan keluar masuk melalui semua pusat pemeriksaan di kawasan larangan, perjalanan di jalan raya berhampiran sempadan serta lawatan ke kawasan tinjau dan pemerhatian berhampiran sempadan," menurut kenyataan itu.Pihak kedutaan menasihatkan semua rakyat Malaysia di Thailand untuk sentiasa peka, berhati-hati dan mendapatkan maklumat terkini dengan memantau media tempatan dan saluran rasmi kedutaan.
"Pelancong Malaysia dinasihatkan supaya tidak melakukan perjalanan yang tidak penting ke tujuh wilayah terjejas.
"Mereka yang sudah berada di kawasan ini digesa merancang laluan perjalanan dengan teliti untuk mengelakkan zon larangan atau zon yang dipertikaikan. Sila hubungi balai polis terdekat atau Polis Pelancong di talian 1155 jika memerlukan bantuan dan mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia untuk mendapatkan maklumat terkini dan bantuan tepat pada masanya," tambah kenyataan itu.
Sekiranya berlaku kecemasan atau untuk mendapatkan bantuan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok melalui talian +66 87 028 4659 atau e-mel: [email protected].
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami