Skip to main content

Politik

'Politik dinosaur, sentimen primordial masih belenggu pengundi' - Prof Zaini

Ilham Center, Wacana PRN, Hisomuddin, Dr Zaini Othman, Dr Yusry
Felo Penyelidik Kanan KITA UKM, Prof Madya Dr Zaini Othman menegaskan sentimen primordial dan 'politik dinosaur' masih cengkam tingkah laku pengundi. Beliau menggesa parti politik membina pelan penggantian (succession plan) telus demi mengelak kelesuan pemilih pada PRU16.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Landskap politik tanah air dijangka terus dihiasi dengan pergolakan politik identiti dan kepimpinan legasi (dinosaur politics) selagi gabungan politik utama gagal membina pelan penggantian (succession plan) yang mantap menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). 

Felo Penyelidik Kanan Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Zaini Othman menjelaskan bahawa politik identiti di Malaysia berakar umbi daripada sentimen primordial, iaitu ikatan etnik dan agama yang sentiasa wujud dan mudah muncul sebagai isu dominan pada setiap siri pilihan raya. 

Mengulas soalan peserta wacana mengenai amalan 'politik dinosaur' yang masih membelenggu aspirasi anak muda,  Zaini menarik perhatian kepada kerangka perlembagaan dan struktur unik negara. 

"Sistem negara kita unik berbanding negara lain. Apabila timbul persoalan bagaimana mahu mengelak politik dinosaur, kita kena faham bahawa sentimen primordial ini sentiasa ada di situ dan akan dikaji mengikut keadaan semasa," kata beliau ketika menjadi panelis dalam Wacana Pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Beliau menambah bahawa kegagalan mewujudkan peralihan kepimpinan secara teratur menyebabkan naratif pimpinan veteran terus mendominasi pasaran politik, sekali gus membendung potensi pemimpin muda. 

Memetik amalan parti People's Action Party (PAP) di Singapura sebagai contoh, beliau berkata, PAP konsisten melaksanakan pelan penggantian kepimpinan bagi memastikan parti mereka kekal relevan menembusi generasi baharu tanpa bergantung kepada watak-watak lama. 

Menurut beliau, parti-parti politik tempatan, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), harus mempunyai keberanian institusi untuk menguruskan 'periuk politik' ini demi mengelakkan kelesuan pengundi. 

"Kalau kita lihat PAP di Singapura, bagaimana succession plan mereka dibina hingga parti itu kekal relevan dan tidak membiarkan 'dinosaur' ini terus wujud. Ini satu perkara yang sebenarnya turut membebankan masyarakat," tegas beliau. 

Dalam pada itu, beliau turut bersetuju bahawa walaupun politik identiti sering dijadikan modal kempen, ia bersifat dinamik dan boleh berubah mengikut kepentingan strategi kuasa. 

Tambahnya lagi, pengajaran daripada pilihan raya di peringkat regional (seperti Indonesia) membuktikan bahawa retorik politik identiti boleh reda atau bertukar wajah dengan cepat sebaik sahaja fokus beralih kepada pembentukan kerajaan dan penyampaian polisi (deliverables). 

 

Must Watch Video

Advertisement