KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan seorang penuntut kolej untuk membatalkan pertuduhan membunuh pasangan suami isteri, dalam insiden rempuhan di Jalan Ampang, berdekatan Great Eastern Mall, di sini pada 2 Mei.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata bantahan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini semalam, dibuat kerana permohonan peguam yang mewakili tertuduh Danish Raman Kamar Kumaresan, 24, itu tidak teratur dan tidak mengikut peruntukan di bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Beliau memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas sebutan kes itu di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin, yang turut dihadiri peguam S. Selvam yang mewakili Danish Raman.
Semasa prosiding hari ini, Selvam memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan notis usul untuk membatalkan pertuduhan itu semalam.
“Pihak kami telah menerima dokumen bantahan awal daripada pendakwaan hari ini. Kami akan membalas hujahan berkenaan, oleh itu kami memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk prosiding seterusnya,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama peguam S. Donald.
Hakim Aslam kemudian menetapkan 17 Ogos ini untuk pendengaran permohonan berkenaan.
Berdasarkan notis usul, Danish Raman selaku pemohon menyatakan keputusan pendakwa raya mendakwanya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kes kemalangan jalan raya, adalah bersifat ‘mala fide’ iaitu berniat jahat selain tidak munasabah serta melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
“Penggunaan Seksyen 302 kanun itu terhadap fakta kemalangan jalan raya tanpa elemen niat membunuh, telah bercanggah dengan prinsip asas undang-undang jenayah. Susulan itu, pertuduhan di bawah Seksyen berkenaan perlu diketepikan dan dibatalkan,” katanya dalam notis itu.
Pada 15 Mei lepas, Danish Raman didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh warga emas A. Doraisingam, 61, dan isterinya A. Menagah, 56, di Jalan Ampang dari arah KLCC menghala ke arah Ampang Point pada 5.30 pagi 2 Mei.
Pasangan itu maut akibat kecederaan parah di kepala, selepas motosikal Honda Wave Alpha dinaiki mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta Toyota Vios.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA