KUALA LUMPUR: Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan sementara perjalanan tidak penting ke Ethiopia susulan konflik antara Angkatan Tentera Ethiopia dan Gerakan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF).

Menurut kenyataan kementerian, Kedutaan Malaysia di Khartoum, Sudan, memaklumkan empat rakyat Malaysia di Ethiopia yang berdaftar dengan kedutaan berada dalam keadaan selamat.

"Pegawai kedutaan sentiasa berhubung rapat dengan mereka. Mereka dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan masing-masing, serta menimbangkan untuk meninggalkan Ethiopia menerusi penerbangan komersial yang masih beroperasi," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Konflik dalaman di Ethiopia tercetus apabila kerajaan pusat menuduh pemberontak TPLF menyerang pangkalan tenteranya di Tigray. Pada Mei, TPLF telah disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Ethiopia.

Pada awal November, sembilan puak pembangkang Ethiopia mengisytiharkan pembentukan pakatan antikerajaan untuk menggulingkan Kabinet pimpinan Perdana Menteri Abiy Ahmed dan menubuhkan pihak berkuasa peralihan. TPLF adalah sebahagian daripada pakatan itu.

Rentetan daripada itu, pada 2 Nov parlimen Ethiopia mengisytiharkan darurat selama enam bulan di seluruh negara susulan TPLF bertindak memasuki ibu negara Addis Ababa. Perkembangan itu mendorong beberapa negara mula mengosongkan misi diplomatik mereka di Ethiopia.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular di Ethiopia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Khartoum, atau kementerian melalui saluran berikut:

Tel: +249 99 070 0350
E-mail : [email protected]
media sosial : @Malawakil.Khartoum (Facebook) @MYEmbKhartoum (Twitter)
Wisma Putra di talian 03-88874201 / 4530 (waktu pejabat), 03-88874570 (selepas waktu pejabat).

-- BERNAMA