KUALA LUMPUR: Tan Sri Robert Kuok yang juga rakyat Malaysia paling kaya meraikan ulang tahun kelahiran ke-100 pada Jumaat dengan menerima ucapan tahniah daripada sekumpulan tokoh perniagaan elit di Hong Kong.

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), Kuok yang dilahirkan pada 6 Oktober 1923 di Johor menerima ucapan tahniah daripada beberapa individu berpengaruh termasuk manusia paling kaya di Hong Kong, Li Ka-shing, 95, dan anak lelakinya, Victor Li Tzar-kuoi, 59.,

Keluarga Lee daripada Henderson Land Group turut menyampaikan ucapan tahniah, sambil mengiktiraf kepimpinan luar biasa Kuok.

"Kepimpinan berwawasan dan sumbangan bermakna anda kepada industri telah meninggalkan tanda yang besar.

"Semoga sejahtera atas pencapaian seabad, kesihatan yang baik, dan terus gembira!" kata pengasas syarikat itu, Lee Shau-kee, 95, dan anak-anaknya, Peter Lee Ka-kit, 60, serta Martin Lee Ka-shing, 52, dipetik daripada laporan itu.

Kuok yang sangat sinonim dengan gelaran 'Raja Gula' muncul tokoh usahawan Asia sangat menonjol dengan pelbagai empayar perniagaan.

Sementara itu, Joe Tsai yang juga Pengerusi SCMP iaitu akhbar yang pernah dimiliki oleh Kuok turut menyampaikan ucapan tahniah dan mengiktiraf kepimpinan Kuok.

Kekayaan Kuok ketika ini dianggarkan oleh Forbes mencecah AS$10.3 bilion (RM48.7 bilion), menjadikannya manusia ke-155 paling kaya di dunia.

Beliau mewarisi perniagaan pengedaran beras keluarga bersama dua adik beradiknya selepas kematian bapa mereka pada 1948.

Bilionair itu turut menceburi pelbagai bidang perniagaan, antaranya membina empayar Shangri-La Group, yang kini memiliki, mengendali dan menguruskan lebih 100 hotel serta resort di 78 destinasi.

Pada 2018, Kuok pernah dilantik menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan oleh Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).