Semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan dikuarantin selama 14 hari di satu tempat khas yang akan disediakan oleh kerajaan, bermula Jumaat ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, langkah itu dipersetujui dalam Mesyuarat Bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi Menyeleras Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Selasa.

Menurutnya, prosedur ini bermakna mereka akan dibawa terus ke pusat kuarantin menggunakan bas khas sebaik tiba di lapangan terbang di negara ini.

"Di sana, mereka akan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memeriksa status kesihatan.

“Mereka juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lain yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini pada Selasa.

Ismail menasihatkan orang ramai termasuk ahli keluarga supaya tidak datang ke lapangan terbang untuk menyambut ketibaan mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, 100 bas ditaja oleh sebuah kerajaan negeri bagi melancarkan proses berkenaan.

Beliau menjelaskan, kerajaan terpaksa mengambil langkah itu bagi melindungi semua pihak berikutan banyak negara lain termasuk China menyaksikan peningkatan jangkitan COVID-19 selepas ramai rakyat kembali ke negara itu.

BACA: Kerajaan perlu saring teliti rakyat Malaysia yang dibawa pulang - Awang Bulgiba

BACA: 3,468 rakyat Malaysia masih terkandas di 61 negara

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati rakyat Malaysia termasuk pelajar yang berada di luar negara supaya terus tinggal di sana memandangkan mereka mempunyai penginapan.

Jumaat lalu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar memberitahu, kira-kira 3,468 rakyat Malaysia yang dilaporkan masih terkandas di 61 buah negara akan dibawa pulang dalam masa terdekat.

Beliau juga menjangkakan jumlah itu akan meningkat memandangkan masih ada lagi rakyat Malaysia yang akan mendaftarkan diri di Kedutaan Besar Malaysia di Chennai.