Kadar purata pengambilan garam rakyat Malaysia ialah 7.15 gram sehari berbanding lima gram sehari, atau satu sudu teh sahaja, seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kajian rintis Kementerian Kesihatan pada 2015 menunjukkan golongan berumur 18 tahun ke atas mengambil lebih banyak garam.

“Kita menyarankan supaya setiap orang makan 5 gram atau satu sudu teh garam sahaja. Secara purata, rakyat Malaysia mengikut kajian kita, makan lebih kurang 7.15 gram garam pada setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2018 “5 Cara Capai 5 Gram Garam” di ibu pejabatnya di sini hari ini.

Justeru, Subramaniam menggalakkan rakyat Malaysia mengubah gaya hidup mereka dengan mengurangkan pengambilan garam dalam makanan atau masakan bagi mengurangkan risiko penyakit hipertensi, jantung dan strok.

“Hipertensi yang tidak dikawal boleh menyebabkan risiko penyakit lain seperti jantung, strok, hati dan sebagainya,” tambahnya.

Ujarnya, kicap, sos tomato, kiub perisa adalah antara bahan perisa yang mempunyai kandungan garam yang tinggi.

“Makanan yang diproses juga seperti makanan dalam tin, makanan sejuk beku mempunyai kandungan garam yang lebih tinggi.

“Makanan yang diawet seperti ikan bilis dan ikan masin semua mempunyai garam yang terlampau banyak, serta makanan ringan,” katanya lagi.

Ketika ini, kata Subramaniam, kira-kira 30 peratus daripada penduduk Malaysia mengidap penyakit hipertensi.

Bagaimanapun, separuh daripada mereka tidak mendapatkan rawatan lanjut.

"Lebih kurang 30 peratus rakyat negara ini merupakan mereka yang berumur lebih daripada 18 tahun.

"Daripada 30 peratus ini, mungkin separuh sahaja yang mendapat rawatan. Lagi separuh tidak mendapatkan rawatan secara berterusan.

"Maka, mereka ada risiko tinggi untuk mendapat serangan jantung, dan strok,” ujarnya.