Ketika pemimpin dunia menerima pakai agenda pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi tempoh 15 tahun akan datang, pada sidang kemuncak di sini, Malaysia melahirkan kebimbangan
bahawa kemajuan global telah menjadi tidak seimbang dengan jutaan rakyat masih menderita.

"Kini, kira-kira 800 juta rakyat masih hidup dalam kemiskinan dan menderita kelaparan," kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang kemuncak Agenda 2030 pada Ahad (Isnin di Malaysia).

Najib berkata walaupun sasaran mengurangkan kadar kemiskinan tegar telah dicapai, namun dunia masih jauh daripada mencapai matlamat keseluruhan untuk membasmi kemiskinan dan kelaparan.

"Ini, mesti kekal menjadi teras agenda pembangunan pasca 2015 - dan ia adalah penting untuk memastikan tiada individu yang tercicir di belakang," katanya.

Perdana Menteri berkata jutaan rakyat masih menderita disebabkan jantina, umur, kecacatan, etnik atau lokasi geografi.

Dikenali sebagai Matlamat Global, agenda berkenaan mengandungi 17 matlamat dan 169 sasaran, memberi tumpuan kepada tiga elemen - pertumbuhan ekonomi, penyertaan sosial dan perlindungan alam sekitar.

Agenda berkenaan telah diterima pakai pada Jumaat (Sabtu di Malaysia) pada perasmian mesyuarat tiga hari sidang kemuncak di New York dengan lebih 150 pemimpin dunia menghadiri sesi ke-70 Perhimpunan Agung PBB.

Antara lain, ia bertujuan untuk membasmi kebuluran dan kemiskinan, mengurangkan ketidaksamaan, mencapai kesaksamaan gender serta melakukan tindakan serius untuk memperjuangkan perubahan iklim.

Malaysia, menurut Najib, komited terhadap agenda pasca 2015 untuk mengubah dunia menjelang 2030 memandangkan pembangunan keterangkuman dan mampan telah sekian lama menjadi pusat transformasi negara daripada sebuah negara membangun kepada negara yang mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata kadar kemiskinan di Malaysia telah dikurangkan daripada 49.3 peratus pada 1970 kepada 0.6 peratus pada 2014 manakala kemiskinan tegar telah dihapuskan.

"Menjelang 2020, kami menyasarkan untuk menggandakan pendapatan purata bagi isi rumah B40 (bawah 40 peratus) daripada US$700 pada 2014 kepada US$1,500, menaik taraf mereka ke dalam kelompok kelas menengah," katanya.

Tambah beliau, penyertaan wanita dalam tenaga kerja akan meningkat manakala kawasan luar bandar akan diubah dengan meningkatkan hubungan dan mobiliti serta mewujudkan persekitaran lebih mesra perniagaan.