KJ kembali sertai UMNO? Itu lebih baik daripada yang lompat parti - Ketua Puteri UMNO

Nurul Amal berkata, Khairy yang berasal daripada UMNO tidak pernah menunjukkan kecenderungan menyertai mana-mana parti lain, justeru dilihat masih mempunyai ruang untuk kembali. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: "Itu lebih baik daripada yang dah UMNO tapi lompat ke parti lain.”
Ringkasan AI
- Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi menyatakan KJ masih ada ruang kembali kerana tidak pernah cenderung ke parti lain, tetapi perlu ikut proses parti.
- Nurul Amal menegaskan UMNO adalah hak ahli dan masyarakat, bukan milik individu, susulan spekulasi kemasukan semula KJ.
- Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki sahkan KJ layak memohon semula selepas tiga tahun pemecatan, namun penerimaan bergantung kepada Majlis Kerja Tertinggi.
"Namun beliau (KJ) perlu mematuhi proses yang telah ditetapkan parti serta terpulang kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
“Beliau (KJ) datang dari UMNO, saya tidak pernah lihat dia cenderung ke mana-mana parti. Tetapi KJ perlu mengikut proses-proses seperti yang lain,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO bukan milik individu, sebaliknya milik seluruh ahli dan masyarakat yang masih menyayangi serta memperjuangkan parti itu.
“UMNO ini hak ahli UMNO dan masyarakat yang sayangkan perjuangan UMNO, bukan milik individu,” katanya lagi.
Kenyataan itu hadir susulan spekulasi yang semakin hangat diperkatakan mengenai kemungkinan Khairy kembali aktif dalam politik menerusi UMNO selepas sekian lama menyepi daripada pentas politik tanah air.
Hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun pemecatan Khairy sudah memasuki tempoh tiga tahun, beliau layak memohon untuk kembali kepada parti tetapi keputusan sama ada diterima atau sebaliknya akan ditentukan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Beliau berkata, UMNO bersikap terbuka menerima ahli yang dipecat atau digantung kembali dalam usaha memperkukuh parti, namun perlembagaan UMNO menetapkan penerimaan mereka hanya diputuskan MKT yang menjadi badan tertinggi menentukan soal disiplin dan penerimaan semula ahli dipecat atau digantung itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


