Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan bahawa perpaduan dan keamanan negara tidak boleh dipandang remeh justeru itu rakyat perlu sentiasa berusaha mengekalkannya.

Dr Wan Azizah berkata keharmonian dalam kalangan rakyat menggambarkan kesatuan yang dibangunkan atas kepelbagaian agama, kaum, bahasa dan budaya.

Beliau berkata di sebalik perbezaan agama, kaum, budaya dan bahasa, rakyat di negara ini sebenarnya berkongsi pelbagai nilai yang dimiliki bersama.

"Adalah senang untuk mengamalkan mentaliti sekawan iaitu kita dipengaruhi oleh rakan sebaya untuk mempraktikkan tingkah laku mereka berdasarkan emosi daripada asas rasional.

"Namun ia berbahaya kerana kita dapat dipengaruhi untuk melakukan sesuatu yang boleh mengancam keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," katanya ketika berucap pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina bagi Parlimen Pandan di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah di sini, pada Ahad.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata rakyat tidak boleh membenarkan mereka yang mempunyai agenda tersendiri untuk menyemarakkan sentimen perkauman di negara kita.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan orang ramai agar terus menjaga kebersihan dengan menjadikan amalan menggunakan pensanitasi (sanitizer) dalam rutin harian susulan penularan COVID-19.

"Kita sekarang menghadapi banyak cabaran, cabaran yang menjadi masalah dan isu penting adalah berkenaan COVID-19.

"Saya harapkan kita semua menjaga kebersihan. Sebab itu disediakan sanitizer supaya kita tidak menyebarkan kuman. Ini sepatutnya menjadi amalan. Dengan peringatan itu saya berharap semua sihat-sihat belaka menjalani Tahun Tikus (sempena Tahun Baru Cina 2020) dengan lebih baik," katanya.

-- BERNAMA