Skip to main content

Malaysia

Rakyat perlu kekal sihat, berdikari harungi fasa negara menua - Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 12 Julai -- Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin bergambar bersama para peserta selepas menyempurnakan majlis pelancaran Cheras Family Fun Run di Taman Tasik Permaisuri Cheras hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dr Wan Azizah (tengah) bergambar bersama para peserta selepas menyempurnakan majlis pelancaran Cheras Family Fun Run di Taman Tasik Permaisuri Cheras hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia digesa mengamalkan budaya hidup sihat dan berdikari bagi memastikan mereka mampu kekal berdikari dalam mengharungi fasa negara menua.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Perdana Menteri berkata kesedaran itu penting memandangkan jangka hayat penduduk negara ini kini semakin panjang.

"Anak-anak kita mungkin sibuk dengan kerja masing-masing, kerjaya masing-masing, keluarga masing-masing dan sekarang ini kita lebih lama hidup (jangka hayat panjang). Jadi kita mesti berdikari, hidup mesti sihat," katanya ketika merasmikan program larian santai Chung De Cheras Family Fun Run 2026 di Taman Tasik Permaisuri hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, Wakil Pegawai Penerangan Daerah Bandar Tun Razak Syaiful Harif Adnan dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Puan Oh Siew Lian.

Wan Azizah turut mengingatkan masyarakat bandar agar sentiasa memupuk keharmonian, saling menjaga kebajikan antara satu sama lain, serta memastikan kemakmuran negara dapat dikongsi bersama secara saksama tanpa membiarkan golongan miskin terus tercicir.

Sementara itu Syaiful Harif berkata program hari ini turut dimanfaatkan dengan pengisian slot advokasi keselamatan digital oleh Jabatan Penerangan (JaPen) daerah bagi mengekang kes penipuan dalam talian.

Beliau mendedahkan setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan kira-kira 345,000 hantaran di media sosial berkaitan dengan aktiviti penipuan (scam).

“Ini termasuklah scam dalam talian berkenaan dengan pekerjaan ataupun aktiviti perjudian ataupun (aktiviti) kurang sihat, dan ada juga berkenaan dengan buli siber kanak-kanak," katanya.

Program anjuran Pertubuhan Confucian Chung De Cheras itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti keluarga termasuk sesi zumba, pemeriksaan kesihatan percuma oleh Hospital Pantai Cheras, gerai permainan serta edaran risalah kempen keselamatan oleh Komuniti Madani Zon 2.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement