Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengajak rakyat bersama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan Asean tetap menjadi wadah utama agar Malaysia kekal aman, stabil dan makmur.

Beliau berkata kesepaduan Asean merupakan satu daripada faktor utama yang menyumbang ke arah keamanan, kestabilan serta kemakmuran di rantau ini, dan Malaysia tidak akan mengecapi kemajuan jika rantau ini bersengketa sesama sendiri.

"Sebagai salah satu negara pengasas Asean, Malaysia seharusnya berbangga dengan usaha serta peranan yang dimainkan oleh negara untuk memastikan kejayaan blok itu.

"Semenjak penubuhannya pada 1976, Asean telah menjadi tonggak asas hubungan luar negara.

"Penubuhan Asean merupakan titik tolak penting dalam usaha mewujudkan rantau Asia Tenggara yang aman, stabil dan makmur," kata Najib dalam perutusan bersempena sambutan Hari Asean ke-47, yang dirai setiap 8 Ogos.

Beliau berkata perpaduan Asean berjaya membuatkan blok itu dipercayai di mata dunia dan kini bersedia untuk diintegrasi sepenuhnya ke dalam masyarakat.

Najib berkata Asean mempunyai matlamat untuk mewujudkan sebuah komuniti yang berpandangan jauh, memainkan peranan utama dalam pembangunan isu serantau, menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang bertanggungjawab dari segi sosial serta bebas daripada konflik dan rancak dari segi ekonomi.

"Kesemua ini akan menjadikan Asean lebih dekat dengan rakyat dan seterusnya menjadikan ia sebuah organisasi rakyat yang penyayang dan bertanggungjawab secara sosial," katanya.

Menyentuh pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi Asean pada tahun depan, beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab Kuala Lumpur untuk memimpin serta mengemudi usaha memperkasa blok ini bagi tempoh pasca 2015.

Najib berkata kepengerusian yang akan datang sangat penting kepada Malaysia kerana pada waktu itu, Komuniti Asean bakal ditubuhkan.

"Adalah menjadi hasrat kita untuk meningkatkan penglibatan semua pihak yang berkepentingan dalam aktiviti-aktiviti Asean.

"Bagi tujuan itu, Malaysia apabila menjadi Pengerusi pada 2015 telah memilih tema utama iaitu Asean Berpaksikan Rakyat," katanya.

Najib berkata pembentukan Asean yang berpaksikan rakyat boleh dianggap sebagai langkah jitu ke arah merealisasikan aspirasi rakyat merangkumi urus tadbir yang baik, ketelusan, taraf hidup lebih tinggi, pembangunan lestari, memperkasa golongan wanita dan peluang lebih besar kepada semua.

Beliau berkata bagi memastikan rakyat Malaysia terbabit dalam usaha murni itu, kerajaan akan menjalankan pelbagai usaha untuk membawa Asean lebih rapat kepada rakyat negara ini.

"Kita akan meningkatkan usaha dalam beberapa bulan akan datang untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai Asean," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata cogan kata 'Mara ke Hadapan dengan Perpaduan ke Arah Komuniti yang Aman dan Makmur' yang dipilih Myanmar sebagai Pengerusi Asean tahun ini amat wajar.

"Cogan kata tersebut amat tepat sekali kerana ia mengingatkan kita bahawa Asean mesti sentiasa berpandangan jauh dan ke hadapan," katanya.