MALAYSIA
Dua beradik panik ketum dalam kereta, dikejar polis 90 km

Dua beradik lelaki ditahan polis awal pagi Selasa, selepas terbabit dalam aksi kejar mengejar sejauh kira-kira 90 kilometer (KM) bersama beberapa kenderaan peronda (MPV) di sekitar Shah Alam selama hampir 45 minit. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dua beradik lelaki ditahan polis awal pagi Selasa, selepas terbabit dalam aksi kejar mengejar sejauh kira-kira 90 kilometer (KM) bersama beberapa kenderaan peronda (MPV) di sekitar Shah Alam selama hampir 45 minit.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.30 pagi apabila anggota MPV yang sedang meronda di Pusat Komersial Seksyen 7 mengesan sebuah kereta Proton Wira berwarna biru dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota bertugas telah membunyikan siren dan mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan bagi tujuan pemeriksaan.
"Namun, pemandunya bertindak melarikan diri secara melulu,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.Susulan itu, berlaku aksi kejar mengejar di sekitar kawasan Shah Alam dalam jarak lebih 90 kilometer (km) selama kira-kira 45 minit, sebelum kereta itu berjaya dipintas di Seksyen 9 berhampiran pintu pagar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Dua suspek lelaki masing-masing berusia 24 dan 18 tahun yang juga adik beradik, berjaya ditahan.
Pemandu berusia 24 tahun manakala adiknya yang berusia 18 tahun berada di tempat duduk penumpang.
“Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan menemukan sebotol cecair hijau disyaki air ketum yang disorokkan di bawah tempat duduk penumpang hadapan sebelah kiri,” katanya.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati pemandu berusia 24 tahun mempunyai lima rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, manakala adiknya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 (Seksyen 186), dan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali (Seksyen 30(3) Akta Racun).
"Permohonan tahanan reman ke atas kedua-dua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nawinthan A/L Selvaraja di talian 016-2052314, "ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami