KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, tubuh badan yang sihat dan akal yang cerdas merupakan anugerah serta amanah Tuhan yang amat berharga dan wajib dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
Baginda menegaskan, kesihatan bukan sekadar bebas daripada penyakit, sebaliknya merangkumi kesejahteraan menyeluruh meliputi aspek fizikal, mental dan sosial.
Menurut Baginda, rakyat yang sihat merupakan aset terpenting negara serta pemacu kepada kemakmuran dan kestabilan negeri Perlis.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Aktiviti Fizikal Sedunia Peringkat Kebangsaan dan Karnival Jelajah Kecergasan Peringkat Negeri Perlis 2026 di Kangar, Ahad.
Bertemakan “Every Step Counts” atau “Setiap Langkah Bermakna”, baginda menekankan bahawa setiap usaha kecil ke arah gaya hidup sihat mampu memberi kesan besar dalam jangka panjang.
Titah baginda, amalan hidup aktif tidak memerlukan kos tinggi atau peralatan canggih, sebaliknya menuntut kesedaran, kesungguhan dan konsistensi dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, baginda menyeru seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira usia agar membudayakan gaya hidup aktif dalam kehidupan seharian serta menjadikan aktiviti fizikal sebagai rutin, bukan sekadar pilihan.
Dalam masa sama, baginda turut mengingatkan agar aspek kebersihan dan kelestarian alam sekitar sentiasa dipelihara demi manfaat generasi akan datang.
“Setiap langkah yang kita ambil hari ini adalah pelaburan untuk kesihatan masa depan,” titah Baginda.
Keberangkatan tiba Raja Muda Perlis disambut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr Ghazali Chik serta barisan pengurusan tertinggi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.
Program yang berlangsung dari 18 hingga 19 April itu dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dengan pelbagai aktiviti kecergasan dan kesihatan untuk komuniti.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk Langkah Sihat & Fun Walk, Aerofithon 90 minit, pertandingan Xplore Race dan X-Break HePiLI, selain booth interaktif serta saringan kesihatan percuma termasuk perkhidmatan pakar dari Hospital Tuanku Fauziah.
Turut dianjurkan pertandingan woodball bagi mempromosikan World Cup Woodball Championship 2026, dengan Perlis dipilih sebagai tuan rumah dan sebahagian besar atlet kebangsaan berasal dari negeri itu.
Penganjuran program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan aktiviti fizikal, sejajar dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 yang menunjukkan peningkatan kadar rakyat Malaysia tidak aktif secara fizikal kepada 29.9 peratus.
Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyertai aktiviti ‘Brisk Walk’ sejauh tiga kilometer serta menyampaikan hadiah pertandingan Lawn Bowls.
Baginda juga menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs Peduli berupa wang tunai, kit bantuan dan beras fidyah kepada tiga asnaf terpilih.